top of page

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag: 926 Anggota dan Pegawai Bertugas

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

8 Januari 2026


KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengerahkan 926 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, 837 pegawai dan anggota ditugaskan secara langsung di lapangan melibatkan kawalan keselamatan, trafik dan pengiringan.


Manakala katanya, selebihnya pihaknya turut mengerahkan anggota tambahan bagi pemantauan sepanjang tempoh pilihan raya dengan bantuan dari pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.


"Penugasan merangkumi semua fasa utama PRK bermula hari penamaan calon pada 10 Januari, pengundian awal pada 20 Januari dan hari pembuangan undi pada 24 Januari.


"Pada hari penamaan calon sahaja, seramai 646 pegawai dan anggota digerakkan bagi mengawal keselamatan dan memastikan proses berjalan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya semasa sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini.


Jauteh berkata, bagi memperkukuh kekuatan penugasan, pihaknya turut mendapatkan bantuan penugasan daripada daerah berhampiran.


“Seperti sedia maklum, penugasan kawasan Kuamut adalah mengikut IPD Beluran, manakala kawasan Lamag dan Sukau daripada IPD Kinabatangan sendiri.


“Bantuan tambahan turut melibatkan IPD Sandakan, Lahad Datu dan Semporna, termasuk penugasan Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan,” katanya.


Jauteh berkata, keadaan keselamatan di Kinabatangan berada pada tahap baik dan terkawal, selain menegaskan kawasan itu bukan lokasi panas dari sudut keselamatan serta tidak pernah mencatatkan sebarang insiden serius melibatkan ketenteraman awam.


Katanya, insiden yang direkod sebelum ini hanya berlaku di dalam kawasan tertutup seperti dewan dan tidak menjejaskan keselamatan awam secara keseluruhan.


Dalam pada itu, Jauteh turut menasihatkan semua parti politik serta individu terlibat agar menjalankan kempen secara berhemah.


Katanya, parti-parti terlibat juga perlu menjaga sensitiviti masyarakat setempat dan mengelakkan penggunaan isu berunsur provokasi terhadap mana-mana pihak.


“Polis menegaskan tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat sebarang perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam atau menjejaskan kelancaran proses pilihan raya.


“Masyarakat setempat juga perlu memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan PRK Kinabatangan berjalan dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page