top of page

PRN-17 Sabah : GRS mahu terus kerjasama dengan PH - Hajiji

nabalunews

16 Disember 2024


KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhasrat untuk mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan antara parti yang menerajui kerajaan Sabah, sekali gus meneruskan usaha membela rakyat yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.


Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH.


Hajiji berkata beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengenai kedudukan dan peluang GRS pada PRN Sabah akan datang.


"Yang lain itu (parti lain) kita tengok, kalau fikiran mereka bagus kita akan fikirkan sebab kita ini mahukan kebaikan, saya jadi Ketua Menteri dan yang saya mahu adalah perpaduan. Itu sebab tubuhkan GRS disertai lapan komponen parti, walaupun di dalamnya terdapat parti yang kecil, tidak menang dalam PRN lepas, tetapi niat saya baik untuk kita satu hati.


"Cukuplah dengan pelajaran kita di masa-masa yang lalu. Misi saya sekarang mahu baik dengan orang, kita kumpulkan presiden-presiden parti yang ada dan bukan senang mengurus ini, memang penat tetapi insya-Allah mereka juga sudah menyatakan komitmen dengan GRS," katanya dalam kenyataan pada Ahad, lapor Bernama.


Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).


Sementara itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat mengingatkan semua ahli partinya untuk terus merapatkan barisan perpaduan dan fokus bekerja bagi persiapan menghadapi PRN akan datang.


"Bulan Oktober (tahun depan) adalah bulan berakhirnya tempoh kerajaan ini. Ini bermakna kita boleh bubar Dewan Undangan Negeri sebelum itu ataupun pada waktu itu," katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page