top of page
  • Farah Salim

PRN Johor: Ceramah parti politik dibenarkan



3 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membenarkan ceramah, kempen atau syarahan diadakan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat SPR, prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 terkini bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor ke-15 itu dikeluarkan berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).


“Pindaan dan tambahan kepada SOP tersebut ialah, ceramah, syarahan atau kempen dibenarkan di dalam dan di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi.


“Jumlah kehadiran tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut mana yang terendah, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain dan memakai pelitup muka,” kata kenyataan itu, kelmarin.


Menurut kenyataan itu, ceramah yang diadakan tidak boleh melebihi jam 12 tengah malam dan ceramah atau syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.


"Pindaan dan tambahan pada SOP Pencegahan Covid-19 ini berkuatkuasa serta merta.


"SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan Covid-19 tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," kata kenyataan itu.


Makluman berkenaan pindaan dan tambahan SOP Pencegahan Covid-19 boleh dirujuk portal spr.gov.my


Commentaires


bottom of page