top of page

PRN Sabah: Penalti RM50 Juta Jika ADUN Lompat Parti - Ahmad Zahid

  • nabalunews
  • 44 minutes ago
  • 1 min read

ree

22 November 2025


KINABATANGAN: “Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) yang melompat parti akan dikenakan penalti RM50 juta atau berdepan tindakan mahkamah,”kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Ahmad Zahid berkata, beliau telah menerima aku janji bahawa mana-mana ADUN daripada BN yang melompat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan dikenakan penalti sedemikian.


Beliau berkata walaupun mustahil untuk ADUN yang dipilih pada PRN kali ini melompat disebabkan Akta Lompat Parti, sekiranya berlaku, penalti atau denda serta tindakan mahkamah menanti mereka.


“Hal ini supaya perkara yang berlaku dalam pilihan raya negeri yang lepas, tidak akan berlaku lagi. Kita harus belajar daripada kesilapan dan kelemahan dahulu,” katanya semasa berucap pada program Jelajah TVET di Dataran Kinabatangan hari ini.


Timbalan Perdana Menteri turut meningatkan agar kesemua 45 calon BN yang bertanding pada PRN Sabah ke-17 agar bekerja keras kerana ia satu-satunya peluang untuk BN dan UMNO kembali menjadi dominan di Sabah.


Beliau berkata rakyat Sabah mahu menyaksikan BN dan UMNO kembali memerintah negeri itu selepas 29 Nov ini dan bertekad membawa kemajuan menyeluruh ke Kinabatangan.


“Saya diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibahim) sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ertinya saya menteri kampung, menteri luar bandar, kawasan Kinabatangan kawasan kampung, jadi saya akan membantu memajukan Kinabatangan.


“Bukan sekadar (selesaikan) tiga serangkai iaitu jalan, elektrik dan bekalan air, lebih daripada itu pun kita akan bawa ke Lamag dan Sukau,” katanya.


Pada 25 Mei 2023, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi mewujudkan larangan ADUN bertukar atau melompat parti.


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov bagi pengundian awal. - BERNAMA

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page