PRN17: UMNO Sabah Diberi Autonomi Buat Keputusan Bekerjasama Dengan Parti Lain.-Ahmad Zahid
- nabalunews
- 24 minutes ago
- 1 min read

17 Mei 2025
SEPANGGAR: Kepimpinan UMNO Sabah diberi kuasa autonomi untuk berbincang dan membuat keputusan mengenai kerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau yakin dengan kepimpinan UMNO Sabah dalam menjalankan rundingan untuk memastikan parti itu dapat membentuk kerajaan bersama rakan lain di negeri tersebut selepas pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata UMNO pusat sangat menghormati autonomi parti berkenaan di Sabah dan perkara itu turut diketahui oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin serta kepimpinan parti yang lain.
“Keputusan ini tidak dibuat di peringkat pusat. Kami sentiasa berbincang dan saya percaya di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar, beliau bukan sahaja mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain di Sabah malah beliau pasti akan berbincang dengan kami di Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gerak 17 bagi kawasan Parlimen Sepanggar di sini hari ini.
Selain Bung Moktar, turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Sepanggar Datuk Yakub Khan.– BERNAMA