Produk Nabawan Sumundoi tembusi pasaran luar negaraProduk Nabawan Sumundoi tembusi pasaran luar negara
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Produk Nabawan Sumundoi tembusi pasaran luar negara


Pengurus Syarikat Nabawan Sumundoi, Misa Langiton

29 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


Bak kata pepatah, ‘sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain’, bermaksud tekun dan sabar merupakan antara kunci kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi, termasuk perniagaan.


Begitu juga liku-liku perjuangn usahawan wanita dari Nabawan Misa Langiton, 46, Pengurus Syarikat Nabawan Sumundoi yang pada mulanya berdepan pelbagai cabaran untuk mengembangkan perniagaan tetapi ketabahan wanita itu akhirnya membuahkan hasil yang menyaksikan produknya kini menembusi pasaran luar negara.


Berkat kesabaran mengurus perniagaan secara kecil-kecilan sejak berusia 18 tahun, akhirnya beliau berjaya mewujudkan syarikat dan produknya sendiri.


“Sebagai peniaga, kita sering menghadapi pelbagai cabaran termasuk risiko untung rugi, namun saya bersyukur kerana sentiasa mendapat dorongan dan sokongan kuat daripada suami dan keluarga supaya tidak berputus asa,” katanya ketika dihubungi Nabalu News, baru-baru ini.


Bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang pemprosesan makanan, beliau mengikuti kursus memproses kerepek pisang anjuran Kementerian Perindustrian dengan kerjasama Jabatan Pertanian Daerah Nabawan pada tahun 2018.


“Pada masa yang sama saya membina sebuah bengkel kerepek pisang di Kampung Malinja Nabawan seterusnya menubuhkan syarikat Nabawan Sumundoi dan bertekad menjadikan perniagaan kerepek pisang sebagai pekerjaan sepenuh masa,” katanya.


Misa berkata, selepas menubuhkan syarikat Nabawan Sumundoi, beliau kemudiannya mengikuti pelbagai kursus perniagaan simpan kira, pemasaran dan kebersihan anjuran jabatan dan agensi kerajaan.


Misa

Bagi memulakan perniagaan kerepek pisang, beliau membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan menggunakan modal sebanyak RM3,000 untuk memulakan perniagaannya.


“Pada mulanya saya hanya jual di kawasan Nabawan sebelum meluaskan pasaran di seluruh Sabah.


“Sejak itu, perkembangan perniagaan saya dipantau oleh pihak kerajaan dan hasil pemantauan ini, saya mendapat Geran Bantuan berupa mesin daripada Kementerian Perindusterian dan Jabatan Pertanian serta Geran Bantuan sebuah bangunan kilang kerepek pisang daripada kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya.


Bangunan Keusahawanan Industri Desa, Bengkel memproses Kerepek Pisang yang pertama di Nabawan itu dirasmikan oleh mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick pada Julai tahun lalu.


Pembinaan bangunan itu adalah sebahagian daripada usaha KPLB Sabah untuk membangunkan sektor ushawan luar bandar di bawah program Pembangunan Usahawan Desa (PUD) dan Program Pembangunan Satu Daerah Satu Produk (SDSP).


Antara produk yang diusahakan di bengkel itu ialah produk-produk makanan berasaskan pisang, tuhau dan ubi.


Antara produk Nabawah Sumundoi yang dijual di Hypermarket.

Misa berkata, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaan dengan menghasilkan beberapa produk makanan lain seperti kerepek perisa Madu, balado, jagung, manis, masin dan perisa keju.


“Selain itu, saya juga telah menghasilkan produk seperti sambal goreng tuhau, halwa tuhau, serunding tuhau, sos cili tuhau, sambal pedas dan Jus pisang.


“Saya mempunyai empat orang pekerja yang terdiri daripada suri rumah. Saya gembira kerana dapat membantu ibu-ibu menjana pendapatan,” katanya.


Dari segi pemasaran, produk syarikat Nabawan Sumundoi kini dipasarkan di Bataras Hypermarket, kedai-kedai runcit, GONET (Pasaran tempatan) dan SME Produk DIDR.


Kerepek pisang keluaran pertama Nabawan Sumundoi.

“Produk kami juga berjaya menembusi pasaran Sarawak dan Semenanjung Malaysia iaitu di Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.


“Selain itu kami juga mendapat tempahan daripada Singapura kerana kami mempromosikan produk bukan sahaja melalui Whatsapp dan Facebook malah melalui Shopee, GONET dan Ekspo anjuran pelbagai kementerian berkaitan,” katanya.


Misa berharap semua produknya dapat mencapai piawaian MESTI dan Halal agar dapat menembusi pasaran antarabangsa.


Dari segi bekalan mentah untuk menghasilkan kerepek pisang, dia mengusahakan sendiri tanaman pisang selain memborongnya daripada penduduk kampung.


Seperti juga dengan para peniaga lain, perniagaannya juga turut terkesan akibat pendamik Covid-19.


Jus pisang, antara produk yang laris di pasaran.

“Oleh kerana pergerakan terbatas semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kami juga menghadapi masalah terutamanya dari segi pemasaran, penghantaran produk, pencarian bahan mentah serta pekerja,” katanya.


Oleh itu beliau berharap agar kerajaan dapat menambah bantuan berupa kewangan, memudahkan kelulusan proses pinjaman bank dan monotorium dilanjutkan.


“Saya juga berharap agar kerajaan dapat memperhebatkan lagi Kempen Belilah Barangan Produk Tempatan bagi membantu para peniaga tempatan memasarkan produk mereka,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page