Program “Anak Jati Luba – Back To The Roots” 3 November Ini Di Kota Marudu
- nabalunews
- 8 hours ago
- 2 min read

30 Oktober 2025
KOTA MARUDU: Satu program berkonsepkan kekeluargaan dan komuniti bertajuk “Anak Jati Luba – Back To The Roots” akan diadakan pada 3 November ini bertempat di Dewan Terbuka Kampung Luba Polumpung, Kota Marudu. Program ini dianjurkan oleh Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Bandau, di bawah Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu, Suzie Salapan.
Menurut Suzie, penganjuran program ini merupakan satu usaha untuk menghimpunkan keluarga besar, saudara-mara, sahabat handai serta penduduk sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pangapuyan, yang merangkumi Kampung Luba, Kampung Rugading 1 dan 2, Kampung Lampada, Stamping, Terintidon, Pampang Poring serta Kampung Gontoi. Program tersebut juga bertujuan memperkukuh semangat kekeluargaan dan mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat tempatan.
Suzie menjelaskan bahawa hasrat untuk menganjurkan program di kampung halaman sendiri telah lama terpendam, namun baru kini dapat direalisasikan.
“Ramai yang bertanya kepada saya, bila saya akan mengadakan program di kampung sendiri. Niat itu sudah lama wujud, namun saya sering berfikir tentang tujuan sebenar saya berkecimpung dalam bidang politik dan apa yang ingin saya capai untuk masyarakat serta tanah kelahiran saya sendiri,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran program ini bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya satu platform bagi beliau untuk berkongsi aspirasi, mendengar pandangan serta memperoleh sokongan moral daripada keluarga besar dan penduduk setempat.
“Saya tidak berniat untuk mengadakan program besar-besaran. Cukuplah sekadar satu pertemuan sederhana yang lahir dari hati, untuk saya menzahirkan rasa kasih dan penghargaan kepada keluarga serta keturunan Anak Jati Luba,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa sambutan yang diterima daripada ahli keluarga dan komuniti amat menggalakkan serta memberi semangat kepadanya untuk meneruskan perjuangan dalam membangunkan masyarakat setempat.
“Program ini adalah simbolik kepada kasih sayang, penghargaan dan semangat kekitaan yang perlu terus dipelihara. Doakan semoga niat kecil ini membawa makna besar, bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada seluruh Anak Jati Luba yang berasal daripada akar yang sama,” katanya.
Program “Anak Jati Luba – Back To The Roots” dijangka menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk mereka yang telah berhijrah ke luar daerah. Penganjur berharap ia akan menjadi platform pengukuhan identiti dan perpaduan komuniti, di samping memupuk semangat kekitaan yang berteraskan nilai budaya dan warisan tempatan.


















Comments