top of page

Program Bengkel Keusahawanan Kelas Masakan Bun Bantu Jana Ekonomi Sampingan

  • nabalunews
  • Mar 28
  • 1 min read


28 Mac 2025


KOTA BELUD: Kampung Tinata, Kota Belud, telah menjadi tuan rumah bagi Program Bengkel Keusahawanan Kelas Masakan Bun yang berlangsung pada 22 Mac 2025.


Program ini dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Rumpun Mesra Malaysia (Sabah) dan Wanita Kampung Tinata, bertujuan untuk memperkasakan kemahiran penduduk dalam bidang keusahawanan makanan.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinata, Hadlee Panchai, menjelaskan bahawa program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 39 peserta. Para peserta terdiri daripada penduduk Kampung Pinolobuh, Tinata dan Gensurai, yang berkumpul di Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Tinata Nuluhon untuk mengikuti bengkel tersebut.



Bengkel ini diselaraskan oleh Rafiah Tapah, dengan tenaga pengajar berpengalaman iaitu Kristany Ubud dan Marianah Wan Tin. Mereka berkongsi teknik serta ilmu dalam penyediaan bun lada, satu produk makanan yang berpotensi untuk dipasarkan.


Menurut Rafiah, program keusahawanan ini memberikan peluang kepada peserta untuk menjana ekonomi sampingan.


“Bengkel ini bukan sahaja mengajar teknik membuat bun lada yang sedap dan berkualiti tetapi juga memberikan inspirasi kepada peserta untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya.


Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang hadir dan menunjukkan kesungguhan sepanjang program berlangsung. Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada tenaga pengajar yang telah memastikan setiap peserta memahami teknik dan kemahiran yang diajar.


Hadlee menyatakan, program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak modul latihan yang dapat membantu komuniti meningkatkan daya saing dalam bidang keusahawanan makanan.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page