Program bola sepak santai kukuhkan silaturahim belia Kampung Rangalau, Kota Belud

4 Ogos 2025
KOTA BELUD: Komuniti belia Kampung Rangalau, di sini, berjaya menganjurkan satu program santai bola sepak pada 3 Ogos lalu yang bertujuan memperkukuh semangat perpaduan serta menggalakkan gaya hidup sihat.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak dan diketuai oleh Pengerusi Penganjur, Benedick Opok.
Inisiatif tersebut turut menerima penajaan daripada Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Jolyhame Saran, yang memberi sokongan penuh terhadap penganjuran aktiviti melibatkan belia luar bandar.
Mewakili Jolyhame dalam majlis penyerahan sumbangan kemenangan ialah Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDI) Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod.
Dalam ucapan beliau, Juin menyatakan bahawa keutamaan utama program ini bukan sekadar pada aspek kemenangan atau hadiah, tetapi kepada kehadiran dan penglibatan komuniti yang mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dan semangat setiakawan.
“Penglibatan aktif dalam program seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kesejahteraan sosial di peringkat komuniti.
“Aktiviti riadah seperti bola sepak ini juga secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan gaya hidup sihat dalam kalangan belia,” katanya.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Ketua Pemuda UPKO Cawangan Rangalau, Arnold Franklin Yusar, yang menzahirkan komitmen parti dalam memperkasakan pembangunan belia di peringkat akar umbi.
Program tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung, terutamanya golongan belia yang bersemangat menyertai pertandingan sambil mengeratkan setiakawan dan persaudaraan sesama mereka.
Benedick, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan serta komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau turut berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan secara berterusan demi manfaat generasi muda kampung.
“Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja mengisi masa lapang belia dengan aktiviti sihat, tetapi juga berpotensi menjadi platform pembinaan jati diri dan kepimpinan anak muda,” ujarnya.
Usaha bersepadu sebegini jelas menunjukkan bahawa dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, komuniti luar bandar mampu menjadi contoh kepada kawasan lain dalam menggerakkan aktiviti yang mendukung perpaduan dan kesejahteraan sosial.















Comments