top of page

Program BRAVE dilancar dengan peruntukan berjumlah RM15 juta

  • Wartawan Nabalu News
  • Jul 29, 2025
  • 2 min read

29 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Program Bumiputera Rapid Acceleration & Value Enhancement (BRAVE) dilancarkan dengan peruntukan sebanyak RM15 juta. 


Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


Program rintis yang disokong oleh Dana Khas Pembangunan Bumiputera (DKPB) ini telah dilancarkan beliau selepas Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bilangan 2 Tahun 2025 kelmarin.


Program BRAVE yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, SME Corp. Malaysia menyediakan pembangunan kapasiti dan akses kepada pembiayaan alternatif untuk PKS Bumiputera berprestasi tinggi, dengan fokus kepada penskalaan perniagaan dan persediaan ke pasaran modal. 

Program yang bakal dilaksanakan bersama Rakan Pelaksana dan Perantara Kewangan yang berpengalaman ini memanfaatkan sepenuhnya model perkongsian pintar awam-swasta, di mana Kerajaan menyediakan platform dan sokongan dasar, manakala sektor swasta menyumbang kepakaran pasaran serta akses kepada sumber strategik.


Ahmad Zahid berkata, sebanyak lima syarikat akan dipilih untuk fasa awal dan daripada jumlah ini, lima syarikat akan menerima bimbingan intensif untuk bersedia menembusi Bursa Malaysia menjelang akhir 2025. 


"Hasrat saya sekurang-kurangnya dua syarikat Bumiputera akan berjaya disenaraikan di Bursa pada tahun ini,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Ewon.


Sementara itu Ewon berkata, program BRAVE bukan program biasa. Ia adalah cerminan iltizam Kerajaan untuk mempercepat lonjakan syarikat PMKS Bumiputera yang mempunyai potensi luar biasa tetapi memerlukan galakan, bimbingan dan keyakinan untuk bergerak ke tahap seterusnya.

Mengulas lanjut berkenaan program BRAVE, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, BRAVE menggabungkan dua komponen utama secara serentak iaitu pembangunan kapasiti dan pembiayaan alternatif, termasuk latihan berkaitan tadbir urus korporat, penilaian risiko, pematuhan pasaran dan rangkaian pelabur. 


"Program ini adalah sejajar dengan inisiatif penskalaan oleh SME Corp. Malaysia untuk meningkatkan PKS bersaiz sederhana daripada 1.8 peratus  pada ketika ini kepada lima peratus menjelang tahun 2030," katanya.


Di Majlis itu, turut diadakan adalah pertukaran MoA kerjasama di antara SME Corp.  Malaysia dengan Rakan Pelaksana iaitu Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), Securities Industry Development Corporation (SIDC) dan Deloitte Consulting Malaysia Sdn. Bhd.

Nusa Kapital Sdn Bhd merupakan Perantara Kewangan yang telah dilantik untuk melaksanakan BRAVE dengan pembiayaan sehingga RM1 juta pada kadar keuntungan 3.5 peratus dengan tawaran rebat sehingga 20 peratus kepada syarikat yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud serta tetamu kehormat yang lain.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page