Program Gubahan Bunga Hutan Serlah Kreativiti Wanita Kg. Bundu Paka
- nabalunews
- 4 days ago
- 1 min read

Oleh Wartawan Nabalu News: Kidd
5 April 2026
KOTA BELUD: Program Gubahan Bunga Hutan anjuran kumpulan Tinimungan Tina2/Wanita Kampung Bundu Paka telah berlangsung dengan meriah di Tapak Tamu Desa Kampung Bundu Paka, baru-baru ini.
Program ini bertujuan menggalakkan penglibatan wanita dalam aktiviti kreatif berasaskan sumber semula jadi, di samping memupuk semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan komuniti setempat.
Seramai 14 peserta telah mengambil bahagian dengan mempersembahkan pelbagai gubahan bunga hutan yang unik, menarik dan penuh nilai kreativiti. Setiap hasil gubahan menyerlahkan identiti tersendiri dengan penggunaan pelbagai jenis bunga serta dedaunan hutan tempatan sebagai bahan utama, sekali gus menonjolkan keindahan flora semula jadi kawasan tersebut.

Program ini diketuai oleh Puan Norsih Sabin yang memainkan peranan penting dalam menyelaras perjalanan aktiviti. Menurut beliau, penganjuran program seumpama ini mampu memperkasakan wanita luar bandar serta membuka ruang untuk menjadikan kemahiran menggubah sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Selain mengasah bakat dan kreativiti, aktiviti seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta,” katanya.
Pertandingan ini diadili oleh barisan juri berpengalaman iaitu Datin Jane, wakil wanita UPKO, serta Bainah Loki. Kehadiran mereka memastikan proses penilaian dilaksanakan secara telus, adil dan profesional.
Penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkasa komuniti wanita, di samping memelihara seni gubahan tradisional berasaskan flora hutan.















Comments