Program HePiLI Peringkat SK Kaung Galak Gaya Hidup Sihat di Kalangan Murid
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

12 September 2025
KOTA BELUD: Dewan Komuniti Kampung Kaung Ulu hari ini menjadi tumpuan apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung menganjurkan Program HePiLI Peringkat Sekolah yang melibatkan penyertaan penuh daripada seluruh warga sekolah termasuk 65 murid serta 15 orang guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP).
HePiLI, singkatan kepada Health Promotion in Learning Institution, merupakan satu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini diwujudkan bagi memastikan institusi pendidikan menjadi ruang yang bukan sahaja mendidik, malah membentuk generasi sihat, cergas dan berdisiplin.
Menurut pihak penganjur, program ini memberi penekanan kepada pendidikan gaya hidup sihat melalui amalan harian yang mudah tetapi memberi impak besar. Antara nilai yang diterapkan ialah menjaga kebersihan diri dan persekitaran, kekal aktif, pemakanan sihat, menjauhi rokok, vape serta dadah, selain mengawal emosi dan mengekalkan pemikiran positif.

Para peserta terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti interaktif dan ceramah kesedaran yang bertujuan memperkukuh pengetahuan serta sikap positif terhadap penjagaan kesihatan diri. Program ini turut disambut baik oleh ibu bapa dan komuniti setempat sebagai usaha murni dalam memperkasakan budaya sihat dalam kalangan generasi muda.