Program I Care Kadamaian Teruskan Misi Kebajikan di Kota Belud
- nabalunews
- Feb 15
- 2 min read

14 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Program kebajikan I Care Kadamaian terus menyantuni masyarakat dengan menyalurkan sumbangan kepada dua penerima Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Melangkap Kapa, di sini.
Program inisiatif Kelab Kebajikan Kadamaian dengan kerjasama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu menyaksikan kedua-dua penerima disumbangkan katil boleh laras dan bakul makanan.
Sumbangan disampaikan sendiri oleh ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick kepada Kilus Rungkis dan Ellysha Dannea Daine.

Ewon berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat (YBR), iaitu salah satu agensi di bawah kementeriannya.
Katanya, inisiatif kebajikan seperti itu akan dilaksanakan secara berterusan tanpa mengira latar belakang politik, agama ataupun kaum.
“Usaha ini bukan sekadar untuk menyalurkan bantuan, tetapi juga sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
"Kami komited untuk terus membantu golongan yang memerlukan. Program sebegini akan terus dilaksanakan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan berkenaan.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), berkata Program I Care Kadamaian sebelum ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan.
Katanya, ia termasuk bantuan kewangan, barangan keperluan asas, serta sokongan kesihatan kepada komuniti yang memerlukan.
“Inisiatif ini mendapat sambutan positif daripada masyarakat dan diharap dapat terus diperluaskan ke kawasan lain.
“Masyarakat menyambut baik usaha ini dan berharap agar lebih banyak pihak akan tampil untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Keprihatinan dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk badan korporat dan NGO, sangat penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat yang memerlukan perhatian khusus,” katanya.
Menurutnya, program ini membuktikan wujudnya semangat kebersamaan dan keprihatinan mampu memberikan impak besar kepada golongan kurang berkemampuan.
“Ia sejajar dengan matlamat untuk membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang,” katanya.


















Comments