Program Jelajah Transformasi Komuniti Tongod, Perkasa Usahawan Wanita Melalui Keusahawanan Inklusif

21 Ogos 2025
KINABATANGAN: Program Jelajah Transformasi Komuniti menerusi Keusahawanan Inklusif dan Produk Hiliran Inovatif berlangsung dengan jayanya di Dewan Kampung Sanan, Tongod, di sini, hari ini.
Program itu merupakan inisiatif bersama Persatuan Peniaga Wanita Sabah (SWEA) dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah INSKEN, Mary Jim dan dihadiri ahli-ahli persatuan serta barisan pegawai kedua-dua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terlibat.

Pengerusi SWEA Mohina Sidom berkata, program itu bertujuan untuk memperkasa usahawan tempatan khususnya golongan wanita.
Katanya, ia menerusi pendedahan kepada potensi keusahawanan inklusif serta inovasi dalam penghasilan produk hiliran.
“Peserta daripada daerah Tongod bukan sahaja menerima maklumat berguna mengenai peluang perniagaan, tetapi juga berpeluang menyertai bengkel ‘hands-on’ dua hala bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka.

“Program seperti ini memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk membina keyakinan, memperkukuh jaringan serta meningkatkan nilai tambah kepada produk mereka,” katanya.
Mohina yang juga Ahli Lembaga Pengarah AIM berkata, program seumpama ini diharap akan terus dapat diadakan dari semasa ke semasa.
Katanya, kerjasama erat persatuan dengan AIM serta INSKEN menerusi program jelajah ini juga dapat membuka lebih banyak peluang keusahawanan.

“Ia dilihat mampu melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing di Sabah,” katanya.















Comments