Program Jualan Rahmah akan diperluas, tambah baik pada tahun depan – Armizan

24 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Program Jualan Rahmah yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan diperbaiki lagi bagi memastikan golongan sasar dapat menikmati faedahnya di seluruh negara pada tahun hadapan.
Menurut Pemangku Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali, salah satu cara untuk meningkatkan program ini adalah dengan mewujudkan Program Pasar Rahmah yang sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Katanya, Program Jualan Rahmah telah mendapat sambutan positif daripada masyarakat pelbagai lapisan yang dapat dilihat daripada 2,723 siri program yang diadakan di seluruh negara, sehingga Sabtu.
"Seperti yang kita tahu, Program Jualan Rahmah bermula dalam premis (dan) luar premis, kemudian kita bawa secara bergerak, dengan (barang jualan) boleh didapati pada kadar diskaun 10 hingga 30 peratus.
"Tahun depan, kita (KPDN) cuba mencipta satu kaedah baru dipanggil Program Jualan Rahmah di Pasar Rahmah sebagai cara untuk memperbaiki dan memastikan program ini dapat dicapai dan dilihat oleh masyarakat," ujarnya.
Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas Tugas Khas) berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Bergerak di Kampung Warisan, Darau, pada Ahad.
Beliau juga berharap usaha untuk memperbaiki program ini dapat dilaksanakan dengan bantuan peruntukan tambahan RM150 juta untuk kementerian tersebut yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024, baru-baru ini.
"KPDN telah mendapat peruntukan sebanyak RM150 juta untuk meneruskan Program Jualan Rahmah pada tahun depan.
"Kami sangat bersyukur kepada Perdana Menteri atas perhatian beliau yang melihat program ini sebagai salah satu strategi intervensi dan mitigasi dalam kita menghadapi kenaikan kos sara hidup," katanya.
Comments