top of page

Program Kembara Jumpa Orang Muda dapatkan maklum balas Pelan Transisi Kepimpinan Belia

  • nabalunews
  • Sep 2, 2024
  • 2 min read

2 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) sebuah program inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjadi platform kepada belia untuk menyampaikan maklum balas dan pandangan secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS mengenai draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2026.


Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata dalam melaksanakan pelan itu, pihak kementerian juga memberikan masa yang panjang iaitu tahun ini dan tahun hadapan bagi memastikan semua persatuan belia bersedia dengan transisi berkenaan.


"Ini termasuk memberi ruang kepada pertubuhan belia terlibat memahami dan seterusnya patuh terhadap Akta 668 Pindaan 2019," jelasnya.


Adam Adli berkata demikian pada sidang media sejurus menghadiri Sesi Libat Urus Pelan Transisi Kepimpinan Belia sempena penganjuran program Kembara JOM peringkat negeri Sabah 2024 di Ballroom Harbour Mall, Sandakan, hari ini.


Program Kembara JOM yang dilaksanakan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) ini turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sabah, Apui Jan serta kepimpinan KBS yang lain.


Hadir sama, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee yang turut mengadakan sesi dialog dan soal jawab bersama pelajar sekolah menengah dan pengajian tinggi serta wakil persatuan belia dari Sandakan, Tongod dan Beluran.


Kembara JOM diadakan di Sabah selama seminggu selaku negeri ke-12 selepas Sarawak bagi edisi Borneo.


Kembara JOM akan ke Wilayah Persekutuan Labuan selepas ini.


Sandakan merupakan destinasi ke-17 Kembara JOM.


Adam Adli berkata menerusi program ini, belia dapat melontarkan pandangan, kritikan membina dan keperluan yang diinginkan selain memahami lebih lanjut mengenai Pelan Transisi Kepimpinan Belia 2026.


Taklimat oleh ROY, aktiviti Rakan Muda dan pameran reruai oleh jabatan agensi kerajaan juga berlangsung di sepanjang program berkenaan.


Selain itu, tambah Adam Adli, pelaksanaan Kembara JOM berkenaan juga menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan lagi pembangunan belia seiring dengan hasrat dan aspirasi dalam kerangka Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).


"Maklum balas dan pandangan yang diterima dalam Kembara JOM ini juga akan digunakan untuk memuktamadkan pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668]," katanya.


Antara kandungan utama kepada pindaan Akta 668 adalah penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun. 


Pindaan Akta 668 telah diluluskan di Parlimen pada 2019 dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.


Sementara itu Adam Adli berkata, dalam pelaksanaan pelan transisi itu, pihak kementerian juga berhadapan cabaran antaranya memastikan pertubuhan belia bersedia dengan perubahan itu selain ROY juga harus memastikan belia dan persatuan masing-masing mendapat bimbingan berkaitan.


Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung penganjuran Kembara JOM, boleh menghubungi JBSN melalui talian 03-8871 3744 atau e-mel jbsn@kbs.gov.my.


Pada majlis itu, Adam Adli turut menyampaikan sijil penarafan lima bintang kepada Persatuan Belia Karamunting yang aktif dalam melaksanakan aktiviti belia di Sandakan.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page