Program Kesihatan Daerah Tenom Tarik 133 Peserta
- nabalunews
- Jul 8
- 2 min read

Oleh: Wartawan Nabalu News
TENOM, 8 Julai – Program Kesihatan Daerah Tenom anjuran Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) Daerah Tenom dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Tenom dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) berjaya menarik penyertaan seramai 133 peserta di Pentas Terbuka Sedcovest, Tamu Pekan Tenom, di sini.
Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 petang itu menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan termasuk pemeriksaan tekanan darah, glukosa darah, kolesterol dan asid urik, selain ceramah kesihatan, ceramah Kenali Ubat Anda, penerangan mengenai bantuan pernafasan kecemasan (CPR), suntikan vaksin influenza serta kempen pendermaan darah.

Kempen pendermaan darah turut mendapat sambutan apabila sebanyak 17 beg darah berjaya dikumpulkan bagi menambah bekalan Tabung Darah Hospital Tenom. Sebagai penghargaan, setiap penderma menerima cenderahati berupa beras, Kopi Tenom atau sumbangan wang tunai daripada PPKS.
Program suntikan vaksin influenza juga menerima sambutan menggalakkan. Bagaimanapun, hanya 45 individu sempat menerima suntikan selepas stok vaksin yang dibawa oleh pihak kesihatan habis digunakan.

Pengerusi Perhubungan PPKS Daerah Tenom merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program, Tuan Saimon Motigal, dalam ucapannya menyampaikan salam daripada Presiden PPKS Sabah, Datuk Wilfred Lingham.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat, petugas kesihatan, sukarelawan dan masyarakat yang hadir sehingga program itu berjaya dilaksanakan.
Antara pengisian utama program ialah ceramah Kenali Ubat Anda yang disampaikan oleh Unit Farmasi bagi memberi penerangan mengenai penggunaan dan penyimpanan ubat yang betul. Turut diadakan ceramah Vaksin Influenza dan Anda oleh Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan serta ceramah mengenai kepentingan pendermaan darah yang disampaikan oleh Unit Tabung Darah Hospital Tenom.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen PPKS bersama rakan strategik dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan, amalan hidup sihat dan kepentingan pendermaan darah demi kesejahteraan komuniti.















Comments