top of page

Program Khidmat Masyarakat Diangkat Sebagai Agenda Tahunan di Lompios

  • nabalunews
  • Jan 11
  • 2 min read

10 Januari 2026


KOTA BELUD: Sebuah program khidmat masyarakat yang menyeluruh telah berjaya dilaksanakan di Taman Tamu Keusahawanan Kampung Lompios hari ini, menandakan permulaan inisiatif tahunan yang dirangka untuk komuniti setempat.


Program sehari itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Koperasi Taman Tamu Lompios Kota Belud Berhad (KOTAMU), Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lompios, dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Kota Kinabalu, Sabah.


Menurut Pengerusi KOTAMU, Janus Tioon, program ini telah menarik penyertaan kira-kira 100 orang penduduk. Pelbagai aktiviti dan sumbangan telah diagihkan bagi memenuhi keperluan komuniti.

“Aktiviti ini sangat bermanfaat dan memberi impak positif yang ketara, Pemeriksaan kesihatan percuma amat membantu penduduk Lompios, manakala aktiviti pendidikan untuk kanak-kanak berjaya meningkatkan kesedaran mereka. Sumbangan bantuan pula memberikan sokongan langsung kepada golongan yang memerlukan.” jelas beliau.


Menurut Janus, antara fokus utama program ini ialah, Pemeriksaan kesihatan percuma untuk semua yang hadir. Penyerahan bakul makanan kepada 27 orang warga emas dan 5 orang Orang Kelainan Upaya (OKU). Pemberian hadiah kepada 45 orang kanak-kanak. Dan agihan sumbangan pakaian terpakai.


Secara kolektif, Janus menyampaikan penghargaan komuniti Lompios kepada semua pihak yang terlibat, terutamana PBSM Kota Kinabalu dan Team Borneo Sinarmas atas sokongan dan sumbangan mereka.

Sementara itu, Pengerusi PBSM Kota Kinabalu, Remy Martin Gunsalam, dalam ucapan balas beliau, menyatakan rasa syukur atas kesudian kerjasama daripada KOTAMU dan JKKK Lompios.


Beliau menjelaskan bahawa objektif program adalah untuk menyampaikan khidmat masyarakat secara langsung, khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan dan bantuan sara hidup kepada golongan rentan seperti warga emas dan OKU, selain melibatkan kanak-kanak dengan aktiviti kesedaran.


“Atas kejayaan dan sambutan positif hari ini, program ini akan diinstitusikan sebagai program tahunan di Kampung Lompios,” tegas Remy, menggariskan komitmen jangka panjang pihaknya terhadap pembangunan komuniti di kawasan tersebut.

Pihak penganjur berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berterusan, menyasarkan peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk di Kota Belud.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page