Program Komuniti Aura Borneo Perkukuh Pengusaha Pertanian di Wilayah Utara Sabah.
- nabalunews
- Dec 3, 2024
- 2 min read

3 Disember 2024
KOTA MARUDU: Program Komuniti Aura Borneo bersama pengusaha sawit, padi, dan buah di Wilayah Utara Sabah mencatatkan kejayaan besar dengan penyertaan seramai 233 peserta.
Acara ini berlangsung di Dewan Komuniti Kota Marudu pada Jumaat 29 November lalu yang lalu dan dianjurkan oleh Sasaran Progressive Solution, sebuah organisasi yang sentiasa komited dalam memajukan komuniti tempatan.
Program itu dirasmikan oleh Datuk Hendrus Anding, Pembantu Menteri Pertanian 1, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah.
Hendrus menegaskan pentingnya usaha bersepadu untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil dan pengusaha pertanian di kawasan luar bandar.
Antara tarikan utama program ini ialah taklimat oleh Andryan Anthony, Penolong Pegawai Tadbir Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara Sabah.
Beliau menjelaskan mengenai Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Sawit (TSPKS 2.0), sebuah inisiatif penting untuk membantu pekebun meningkatkan produktiviti mereka.
Turut serta dalam sesi ini ialah Salman Nawang dan Rashid Abd Razak dari Agro Aspire Sdn Bhd, yang menyampaikan taklimat pengurusan ladang sawit.
Mereka turut memperkenalkan baja pokok sawit jenama Aura Borneo, yang terkenal dengan keberkesanannya dalam meningkatkan hasil ladang.
Selain itu, kehadiran Lorik Akau, Pegawai Pertanian Kanan dari Pejabat Pertanian Kota Marudu, bersama kakitangan beliau memberikan sokongan tambahan kepada peserta dalam memahami amalan terbaik pertanian.
Wakil dari Agrobank Kota Marudu juga hadir untuk memberi penerangan berkenaan permohonan skim TSPKS 2.0.
Pillexson James, Pengurus Sasaran Progressive Solution yang juga pengerusi penganjur program, menyatakan harapannya agar program seperti ini dapat membawa perubahan positif kepada pengusaha pertanian di kawasan utara Sabah.
Beliau berjanji untuk terus menganjurkan lebih banyak program seumpama ini yang dapat memanfaatkan masyarakat setempat.
“Matlamat kami adalah untuk memperkukuh sektor pertanian di Sabah dengan memberi sokongan pendidikan, teknologi, dan peluang kepada pengusaha tempatan,” ujar Pillexson.
Katanya dengan penyertaan yang memberangsangkan daripada pelbagai daerah termasuk Kota Marudu, Pitas, Kudat, Kota Belud, Beluran, dan Paitan, program ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak untuk memajukan sektor pertanian dan meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar.
" Adalah diharapkan agar program seperti ini terus diadakan untuk memastikan para pengusaha pertanian di Wilayah Utara Sabah dapat bersaing di peringkat lebih tinggi," katanya.
Comments