Program Kreatif Anyaman Bakul Perkasa Wanita Kampung Bundu Paka
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

Oleh Wartawan Nabalu News: Kidd
28 Mac 2026
KOTA BELUD: Program Kreatif Anyaman Bakul telah berjaya dianjurkan di Tapak Tamu Desa Kampung Bundu Paka pada 28 Mac 2026, dengan penyertaan seramai 32 wanita dari komuniti setempat. Program ini bertujuan memperkasa kemahiran kraftangan tradisional di samping membuka peluang menjana pendapatan melalui hasil seni anyaman.
Program ini dianjurkan oleh kumpulan Tinimungan Tina Tina/Wanita Kampung Bundu Paka yang diketuai oleh Norcy Sabin. Inisiatif tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk kampung, khususnya golongan wanita yang berminat mempelajari teknik anyaman bakul secara kreatif dan tersusun.
Tenaga pengajar bagi program ini terdiri daripada kumpulan Wanita Maju Kampung Podos, Kota Belud (KPWM), yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang anyaman tradisional. Para peserta didedahkan kepada teknik asas sehingga ke peringkat penghasilan produk yang lebih kreatif, kemas dan berkualiti tinggi, selaras dengan kehendak pasaran semasa.

Penganjuran program ini diharap dapat memelihara warisan seni anyaman tradisional, di samping meningkatkan kemahiran serta keyakinan diri para peserta. Selain itu, ia turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan komuniti dan menggalakkan penglibatan aktif wanita dalam aktiviti ekonomi desa.















Comments