Program Living Lab @ Dalit Inisiatif UMS Bantu Pembangunan Komuniti
- nabalunews
- 10 minutes ago
- 1 min read

14 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadikan kawasan Pantai Dalit di Tuaran sebagai Makmal Hidup (Living Lab) baharu universiti sebagai usaha untuk membantu pembangunan pelbagai aspek masyarakat di kawasan tersebut.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, ini termasuk mengadakan program pemindahan ilmu di kawasan tersebut.
“UMS akan menjadikan Dalit sebagai Living Lab dalam usaha melaksanakan pelbagai aktiviti yang boleh membantu memajukan masyarakat setempat.
“Setiap program di kawasan tersebut akan dilaksanakan sebaiknya bagi memastikan universiti mampu membantu dalam aspek ekonomi dan perancangan strategik untuk komuniti di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan merasmikan Kejohanan Bola Sepak Dalit Cup sempena Program Living Lab @ Dalit di Stadium UMS.
Beliau menambah, universiti perlu terus memainkan peranan memajukan masyarakat dengan mengadakan kerjasama erat dengan komuniti setempat.
“Justeru itu, penganjuran Dalit Cup ini menjadi salah satu kaedah bagaimana universiti dapat membantu menerapkan kaedah penganjuran sukan dalam kalangan belia, sekali gus mewujudkan hubungan erat antara universiti dan masyarakat,” ujarnya.
Pada kejohanan tersebut, sejumlah tujuh pasukan yang terdiri daripada Pasukan Tuaran Bandar, Gayang, Berunggis, Mengkabong, Marabahai, Telipok dan Nongkolud berentap bagi merebut tempat sebagai juara Dalit Cup.
Hadir sama pada acara tersebut Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Penyelidikan dan Inovasi, Mohd. Raffie Janau; dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Rizal Zamani Idris.