Program MADANI Rakyat Sabah capai matlamat – Ewon
- Wartawan Nabalu News
- 22 hours ago
- 2 min read

11 Mei 2025
TAWAU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 peringkat Sabah berjaya mencapai matlamat penganjurannya dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan memperkasa usahawan tempatan.
Beliau berkata program berskala besar ini merupakan kolaborasi strategik antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku kementerian peneraju bersama Kerajaan Negeri Sabah serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri.
“Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program. Saya juga gembira kerana sasaran PMR 2025 tercapai dengan jayanya.
“Setakat pukul 11 pagi hari ini, seramai 150,000 orang pengunjung direkodkan melebihi sasaran awal 100,000 orang pengunjung. Dalam tempoh dua hari pelaksanaan PMR 2025, jumlah jualan juga telah mencatat hampir RM1 juta.

“Manakala Inisiatif Padanan Perniagaan dalam tempoh dua hari pula mencatat jumlah RM365,000.00 dan Biaya Usahawan berjumlah RM3.4 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Majlis penutup program disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim yang turut melancarkan Program Solar MADANI, satu inisiatif berimpak tinggi bagi memperkukuh infrastruktur asas dan keselamatan komuniti luar bandar.
Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap nasib penjaja dan peniaga-peniaga kecil khususnya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan pelaksanaan projek Tamu Desa RM10 juta kepada peruntukan asal tahun ini RM10 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan Tamu Desa 2025 sebanyak RM20 juta yang akan dilaksanakan oleh KUSKOP.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta. Ini bukti komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.
Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan replika cek sebagai simbolik penyerahan projek siap Program Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah iaitu sejumlah 59 tapak Tamu Desa bernilai lebih RM11 juta.
KUSKOP telah melaksanakan Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak pada tahun 2024 dan awal tahun 2025. Iaitu dua fasa melibatkan 98 projek di pelbagai lokasi strategik di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri turut menyampaikan, Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah kepada lima usahawan yang asalnya dari golongan B40. Mereka merupakan usahawan ‘zero to hero’ yang mendapat bimbingan daripada agensi-agensi kerajaan sehingga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Ewon berkata, KUSKOP selaku kementerian peneraju ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak merentasi kementerian/agensi persekutuan dan negeri, syarikat swasta, para usahawan dan khususnya warga Sabah yang telah hadir menjayakan dan memeriahkan program ini.
PMR 2025 Sabah bertemakan "Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan", diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau selama tiga hari bermula 9 Mei hingga 11 Mei.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menteri-menteri kabinet persekutuan dan negeri.
Comments