Ubah Suai Berlebihan, Penunggang Motosikal Ditahan
- nabalunews
- May 12
- 1 min read

12 Mei 2025
PENAMPANG: Tidak memiliki lesen selain pengubahsuaian motosikal berlebihan sehingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan membawa kepada penahanan seorang penunggang motosikal.
Penunggang motosikal itu ditahan dalam operasi Op Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Jalan Pintas, Penampang dan Jalan Papar - Kota Kinabalu, Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Penampang.
Katanya, sebaik ditahan untuk pemeriksaan, suspek gagal menunjukkan lesen menunggang motosikal.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, suspek melakukan pengubahsuaian motosikal yang berlebihan hingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan.
“Suspek terus ditahan dan motosikalnya turut disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, pihak polis turut mengeluarkan sembilan keping saman atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap empat motosikal.
Sementara itu, Sammy berkata, operasi diadakan bagi mengesan pesalah lalulintas dan menunjukkan kehadiran polis Omnipresence.
Katanya, ia juga sebagai salah satu usaha mencegah jenayah di sekitar pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
“Selain itu, operasi ini juga bertujuan untuk mencegah dan mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan di daerah Penampang,” katanya.
Comments