Pesta Kaamatan Kampung Tintapon 2026: Perpaduan Dan Keharmonian Jadi Teras
- nabalunews
- Jun 2
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
2 Jun 2026
KOTA BELUD: Pesta Kaamatan Kampung Tintapon 2026 yang bertemakan "Menuai Perpaduan, Meraihkan Keharmonian" berlangsung meriah hari ini di Dewan Terbuka Kampung Tintapon dengan kehadiran dan sokongan padu daripada komuniti setempat.
Perasmian pesta tersebut diwakili oleh Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, bagi pihak Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Dalam ucapannya, Clarence menyampaikan salam maaf daripada Ewon yang tidak dapat hadir serta mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa pelaksana atas kejayaan menganjurkan sambutan tersebut.

"Semangat Kaamatan ini perlu diteruskan oleh generasi belia dari segi perpaduan, kebudayaan dan keharmonian. Kesatuan adalah kunci keharmonian dan pembangunan kampung," tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Lutter@Bob Sarudin, mengucapkan terima kasih kepada kehadiran wakil perasmi dan menyatakan bahawa Kaamatan merupakan salah satu pengukuhan keharmonian serta perpaduan komuniti. Beliau turut menyeru agar belia meneruskan adat resam nenek moyang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tintapon, James Pangku, pula bersyukur kepada komuniti yang hadir dan mengambil peluang untuk "membisikkan" harapan penduduk kampung berkenaan pembangunan infrastruktur.

Antara acara yang diadakan sepanjang pesta ialah makan bersama, pertandingan masakan tradisi, bina badan kanak-kanak, pertandingan sugandoi kanak-kanak dan dewasa, pertandingan ratu kanak-kanak dan dewasa, cabutan tiket bertuah, persembahan tarian, sukaneka serta persembahan artis tempatan, Jaidi Bading.

Turut hadir Penyelia UPPM Kadamaian, Joel Ewel Deukin, serta para pemimpin kampung dan komuniti Kampung Tintapon dan kampung-kampung sekitar.















Comments