Program Majikan Prihatin beri manfaat kepada pencarum KWSP
- nabalunews
- Nov 3, 2024
- 1 min read

3 November 2024
KENINGAU: Program Majikan Prihatin (Caruman Voluntary Excess) akan memberi manfaat kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, dengan caruman pekerja 11 peratus sekarang, pekerja boleh menambah caruman di bawah Caruman Voluntary Excess.
Katanya, melalui Caruman Voluntary Excess, simpanan pencarum secara konsisten dan tambahan dividen tahunan daripada KWSP akan meningkatkan lagi simpanan persaraan pekerja.
"Saya melihat perkara ini memberi manfaat kepada masyarakat khususnya pencarum KWSP," kata Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor dalam ucapan di Majlis Apresiasi Rakan Strategik Dan Majikan Prihatin (Caruman Voluntary Excess) KWSP Keningau tahun 2024 di Hotel Perkasa di sini pada Jumaat.
Teks ucapannya disampaikan Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles.
Robert berharap Program Majikan Prihatin (Caruman Voluntary Excess) ini dapat menjadi penyuntik semangat dan penggalak kepada majikan untuk bersama-sama memastikan kebajikan pekerja terjaga.
"Inisiatif ini juga dilihat sebagai pemacu usaha ke arah menjayakan satu (1) daripada tiga (3) teras Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025, iaitu teras ‘M-Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat" katanya.
Robert berkata, beliau dimaklumkan bahawa isu ketidakcukupan simpanan persaraan berada di tahap yang membimbangkan.
Katanya, ini dapat dilihat dengan statistik KWSP mencatatkan lebih daripada 50 peratus ahli KWSP di bawah umur 55 tahun di Keningau mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun KWSP selepas pengeluaran-pengeluaran khas diperkenalkan.
"Bayangkan jika pencarum, hanya berbekalkan RM10,000 dengan tiada pendapatan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup sehingga 15 ke 20 tahun berikutnya. Oleh itu langkah dan fokus yang jelas untuk menjamin kesejahteraan persaraan masa depan rakyat Malaysia perlu dan harus kita pikul bersama" jelasnya.


















Comments