Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Terbiar inisiatif kerajaan tingkatkan hasil produk agromakanan: Jifrin
- nabalunews
- Oct 14, 2024
- 2 min read

14 Oktober 2024
SOOK: Kerajaan negeri Sabah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk melaksanakan Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Terbiar yang bertujuan membangun dan mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan lagi hasil produk agromakanan negara.
Pengarah Pertanian Sabah, Jifrin Mohamad berkata, melalui program di bawah Program Keterjaminan Makanan sebanyak RM33.5 juta disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah bagi melaksanakan tujuh projek yang akan dilaksana dan diselia oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) melalui Jabatan Pertanian Negeri Sabah (DOA Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah (DVS Sabah).
Katanya, pada ketika ini, Jabatan Pertanian Negeri Sabah sedang menyelia pelaksanaan lima daripada tujuh buah projek melibatkan pemulihan sawah padi terbiar di daerah Sook, Tuaran dan Papar.
“Peruntukan tersebut juga membabitkan pembiayaan pembinaan mini kilang kopi di daerah Nabawan dan pembangunan tanaman kontan (Keladi Cina) di daerah Sook” katanya selepas meninjau pelaksanaan dan perkembangan projek-projek berkenaan pada Sabtu.
Jifrin membertahu, majlis pecah tanah Projek Pemulihan Sawah Padi Terbiar di Kampung Tulid, Kampung Kindasan dan Kampung Pauh di daerah Sook telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup, pada 7 September lalu dan kerja pembersihan kini telah mencapai kawasan seluas 86.49 hektar setakat ini.
“Selain itu, bacaan grid awal, pembuatan batas (permatang) dan pembinaan kotak kawalan air juga telah dilaksanakan” jelasnya.
Manakala bagi Projek Pembangunan Tanaman Kontan (Keladi Cina) juga di daerah Sook dengan keluasan 20 hektar bertepatan dengan potensi daerah Sook sebagai pengeluar utama Keladi Cina sedang dalam pelaksanaan.
Jifrin berkata, melalui projek ini, bantuan secara pakej disediakan merangkumi pembersihan kawasan, bahan tanaman, baja, peralatan ladang termasuk kursus dan latihan.
Bagi daerah Nabawan, projek pembinaan mini kilang kopi atau Sepulut Coffeelive melibatkan pembinaan mini kilang kopi (coffee house), cafe dan sistem air graviti berteknologi hijau.
Katanya, setakat ini, kerja-kerja pemasangan struktur footing mini kilang kopi sedang dilaksanakan.
Jelasnya lagi, projek ini merupakan inisiatif Jabatan Pertanian Sabah untuk menambah nilai hasil kopi khususnya di daerah Nabawan.
Dalam lawatan dan pemantauan pencapaian projek di ketiga-tiga lokasi projek berkenaan, Jifrin diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Jabatan Pertanian Sabah serta pegawai dan kakitangan pejabat pertanian daerah yang terlibat.
Comentários