top of page

Program Merpati JKAS bantu penjagaan warga emas

  • nabalunews
  • 6 days ago
  • 1 min read

15 April 2026


TAWAU: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JKAS) memperkenalkan Program Merpati atau Pusat Jagaan Harian Warga Emas sebagai inisiatif membantu golongan bekerja mengimbangi tanggungjawab menjaga ibu bapa serta memastikan kebajikan warga emas terus terpelihara.


Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata program berkenaan mampu meringankan beban individu yang berdepan kekangan masa, khususnya dalam mengurus penjagaan warga emas di bawah tanggungan mereka.


“Program Merpati menyediakan perkhidmatan pusat jagaan warga emas secara harian atau semalaman, dan terbuka kepada orang awam yang memerlukan penjagaan sementara bagi ibu bapa atau warga emas ketika mereka bekerja.

“Program ini wajar diperluaskan hebahannya kepada masyarakat, khususnya di Tawau yang majoriti penduduknya bekerja, kerana ia menawarkan kemudahan yang praktikal dalam menguruskan rutin harian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Program Merpati JKAS di Rumah Warga Tua Air Panas, di sini, pada Selasa.


Menurutnya, setakat ini seramai lima warga emas di Tawau telah berdaftar di bawah program perintis itu, dengan jumlah penyertaan dikawal bagi memastikan kualiti penjagaan sentiasa terjamin.


Tambahnya, program tersebut berpotensi diperluaskan ke daerah lain di Sabah sekiranya mendapat sambutan menggalakkan.


“Projek perintis ini menawarkan kadar bayaran serendah RM10 bagi penjagaan harian dan RM30 untuk semalaman, menjadikannya antara pilihan mampu milik dan praktikal bagi kebanyakan keluarga,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page