Program One Hour Malaysia Clean Up @ WOW Zoomers Meriah di Kota Belud
- nabalunews
- 3d
- 1 min read

16 Oktober 2025
KOTA BELUD: Program One Hour Malaysia Clean Up @ WOW Zoomers peringkat Parlimen Kota Belud berlangsung meriah di Dewan Serbaguna Kampung Sogoh, Kota Belud, hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Pemaju Mukim Anichlose Kesimin, yang mewakili Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Program yang dianjurkan bersama Pejabat Kesihatan Kota Belud itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat antaranya ceramah pemakanan sihat, tayangan video kesedaran mengenai denggi, ceramah gaya hidup sihat, saringan kesihatan, pameran sains pemakanan, tabung derma darah serta pameran inisiatif KOSPEN dan pencegahan denggi. Kehadiran penduduk setempat menunjukkan sambutan positif terhadap usaha memperkasa kesihatan komuniti melalui aktiviti sebegini.

Penganjuran program ini juga menyokong pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menekankan kepentingan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat. Melalui ANMS, fokus diberikan kepada peningkatan tahap kesihatan masyarakat melalui pemakanan seimbang, minda sihat, gaya hidup aktif, serta penjagaan kebersihan diri dan persekitaran.
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan, malah memperkukuh pelaksanaan ANMS dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih sihat, bersih dan sejahtera.
Comments