PROGRAM PANTAS DI KG.TAMBATUON, KG.TOMIS JAYA MAYAMUT AKAN DILAKSANAKAN TAHUN DEPAN
- Wartawan Nabalu News
- Dec 22, 2020
- 2 min read

22 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) akan melaksanakan pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah menerusi Program Khas Perkhidmatan Negeri Sabah (PANTAS) di Kampung Tambatuon dan Kampung Tomis Jaya Mayamut, tahun 2021.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, kedua-dua kampung itu melibatkan unjuran lot masing-masing sebanyak 200 lot dan 300 lot.
“Manakala bagi Kampung Sayap, Kampung Terintidon, Kampung Gensurai, Kampung Lobong-Lobong, Kampung Kaung, Kampung Lasau dan Kampung Melangkap, JTU akan menjalankan pemeriksaan dan pengesahan di lapangan pada tahun depan secara berperingkat-peringkat sebelum pengukuran PANTAS di kampung tersebut dilaksanakan,” katanya.
Abidin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 bagi Jabatan Ketua Menteri, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.
Beliau menjawab isu yang dibangkitkan Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengenai Program PANTAS di kawasan Kadamaian.
Abidin berkata, bermula September 2019 sehingga Jun 2020, Program Pengukuran PANTAS di Kampung Kiau, Kota Belud selesai diukur sepenuhnya, iaitu sebanyak 353 lot-lot kependudukan dengan jumlah keluasan 231.66 Hektar (518.44 Ekar).
Katanya lagi, di bawah RMKe-12, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan satu program baru bertajuk “Program Pengukuran Tanah Hak Adat Negeri (NCR)” dengan siling peruntukan RM 2.5 juta yang akan dilaksanakan melalui JTU sebagai tambahan kepada peruntukan Program PANTAS dari Kerajaan Persekutuan.
Menjawab isu yang dibangkitkan Adun Tungku yang memohon supaya pengukuran tanah melalui Program PANTAS di Tungku diteruskan pada masa akan datang, Abidin berkata bermula September 2019 sehingga 30 November 2020 sebanyak 416 lot-lot Pendudukan Anak Negeri telah diukur di 11 kampung kawasan Tungku dengan jumlah keluasan 493.774 Hektar (atau 1,220.14 Ekar).
“Kerja-kerja pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Ukur masih lagi berjalan pada masa ini.
“Bagi tahun 2021, dua buah kampung lagi iaitu Kampung Sungai Merah dan Kampung Senakut di kawasan Tungku akan diproses untuk tujuan pengukuran tanah di bawah Program PANTAS,” katanya.


















Comments