Program PANTAS dipergiat di Penampang dan DUN Kadamaian
- nabalunews
- Feb 4
- 1 min read

4 Februari 2026
KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Penyukatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) terus dipergiatkan di Penampang dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang berkata, Program PANTAS telah dan sedang dilaksanakan di 10 buah kampung di Kadamaian, dengan pemeriksaan lapangan dijadualkan diadakan di tujuh buah kampung lagi pada tahun ini.
“Di Penampang, Program PANTAS telah dilaksanakan di sebuah kampung dan saya mencadangkan agar ia diperluaskan ke tiga buah kampung di kawasan Upper Moyog.
“Peluasan program ini penting bagi mempercepatkan proses penyukatan dan pengeluaran geran tanah, sekali gus menjamin hak milik tanah kepada komuniti Anak Negeri,” katanya selepas perbincangan dengan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta Pejabat Hasil Bumi Sabah, di sini, Selasa.
Ewon berkata, perbincangan tersebut diadakan bagi meneliti kemajuan pelaksanaan program serta cadangan pembangunan berkaitan di kedua-dua kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada JTU dan Pejabat Hasil Bumi Sabah atas keprihatinan serta komitmen berterusan dalam membantu komuniti Anak Negeri dalam pemilikan geran tanah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada JTU dan Hasil Bumi kerana sentiasa komited dan bekerjasama rapat bagi memastikan pelaksanaan Program PANTAS berjalan lancar dan berkesan,” katanya.


















Comments