Program Pembentukan Karakter perkukuh pembangunan sahsiah, nilai murni murid
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

17 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan Program Pembentukan Karakter sebagai satu daripada inisiatif utama di bawah kurikulum persekolahan 2027 bagi melahirkan murid yang bersahsiah unggul, beradab dan bertanggungjawab.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata, program berkenaan merupakan anjakan strategik dalam sistem pendidikan negara bagi memperkukuh pembangunan sahsiah dan nilai murni secara menyeluruh dan berstruktur dalam kalangan murid.
“Di peringkat prasekolah, ia akan dilaksanakan secara bersepadu menerusi aktiviti harian pembelajaran.
“Pada peringkat sekolah rendah dan menengah pula, masa khusus selama 60 minit seminggu akan diperuntukkan dalam jadual waktu bagi membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya, program itu menekankan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan kepada aktiviti yang memberi tumpuan kepada penghayatan nilai, tingkah laku positif, serta penerapan adab dan akhlak dalam konteks kehidupan seharian murid.
Menurut KPM, inisiatif itu cerminan komitmen kementerian untuk melahirkan generasi yang holistik dalam aspek akademik, sahsiah dan jati diri.
Semalam, Menteri KPM, Fadhlina Sidek memberitahu Dewan Rakyat bahawa subjek Pembentukan Karakter akan diperkenalkan mulai tahun depan ke arah usaha memperkukuh pembentukan sahsiah dan keperibadian murid.
Katanya, pelaksanaan kurikulum baharu itu kini dalam peringkat persiapan dan akan dimulakan terlebih dahulu di peringkat prasekolah sebelum diperluas ke peringkat seterusnya.