top of page
nabalunews

Program pembersihan pantai kali Ke-10 di Pulau Libaran, Sandakan

27 Oktober 2024


SANDAKAN: Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Hidupan Penyu Negeri Sabah atau Friends Of Sea Turtles Education Research (FOSTER) sekali lagi berjaya melaksanakan program tahunan pembersihan pantai kali ke-10 di Pulau Libaran, Sandakan pada Sabtu.


Program ini dijayakan dengan kerjasama rakan kolaborasi, sukarelawan dan penduduk kampung berkenaan yang bertujuan mewujudkan persekitaran yang bersih dan indah di pulau berkenaan yang juga antara lokasi penyu bertelur di pantainya.


Presiden FOSTER, Alexander Yee, merakamkan penghargaan kepada Sabah Ports Sdn Bhd dan Lembaga Pelancongan Sabah dan semua yang terlibat atas komitmen berterusan dalam memberikan sokongan kepada usaha FOSTER sejak dari awal lagi untuk memastikan usaha berkenaan dapat dilaksanakan bersama untuk mencapai hasrat melestarikan alam sekitar.


Selain itu, pembersihan pantai ini juga penting dalam memastikan usaha memulihara spesis penyu yang terancam, katanya.


Dalam perkembangan sama, jelas Alexander, sejak tahun 2012 FOSTER terlibat dalam usaha konservasi penyu dan sebanyak 43,826 anak penyu telah selamat dilepaskan ke dalam laut.


Pihaknya juga mengajak semua yang peka dengan konservasi hidupan marin terus memberikan sokongan atas inisiatif berkenaan.


"Setiap usaha itu sangat membantu bukan sahaja kepada penyu tetapi juga masyarakat setempat yang sama-sama menjadi sukarelawan untuk memastikan pantai disini terus bersih," jelasnya.


Beliau juga menghargai usaha pihak Jabatan Hidupan Liar yang memantau dan membuat rondaan untuk membanteras perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil telur penyu.


Antara aktiviti lain yang diadakan pada program pembersihan pantai itu. termasuk pelepasan anak penyu yang telah menetas di Taman Konservasi Walai Penyu Pulau Libaran. 


Turut hadir, Pengurus Besar Sabah Ports Sdn Bhd,  Siti Noraishah Azizan.

Comments


bottom of page