top of page

Program Perniagaan Inklusif Kg Podos bantu tingkatkan pendapatan penduduk

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read

11 Januari 2026


KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata pelaksanaan Program Pembangunan Perniagaan Inklusif di Kampung Podos diyakini mampu meningkatkan pendapatan penduduk serta memperkasa ekonomi komuniti luar bandar.


Beliau berkata, program berkenaan membolehkan penduduk kampung terlibat secara menyeluruh dalam rantaian nilai, bermula daripada pengeluaran bahan mentah sehingga penghasilan produk akhir berkualiti yang berpotensi dipasarkan bukan sahaja di Sabah, malah di luar Sabah.


“Saya merakamkan penghargaan kepada SME Corp Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kerana memilih Kampung Podos sebagai lokasi pelaksanaan program ini yang merupakan antara inisiatif penting bagi merapatkan jurang ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan peluncuran Projek Rintis Pembangunan Perniagaan Inklusif Negeri Sabah di Kg.Podos.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, pemilihan Kampung Podos amat bertepatan kerana ia memberi peluang kepada penduduk setempat untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi berasaskan komuniti melalui pendekatan Perniagaan Inklusif.


Beliau berkata, projek berkenaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dan komuniti luar bandar yang masih berdepan cabaran ekonomi, selaras dengan fokus pembangunan keusahawanan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Projek Pembangunan Perniagaan Inklusif Sabah di Kampung Podos itu akan dilaksanakan selama setahun melibatkan empat fasa bimbingan, termasuk pembangunan produk, peningkatan kemahiran, pengurusan perniagaan dan pemasaran.


Katanya kerjasama berterusan antara agensi negeri dan Persekutuan amat penting bagi membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berharap pelaksanaan projek itu akan memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi desa serta menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat di Kampung Podos, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page