Program santai penduduk Lahanas Sokid bersama Ewon selepas pandemik Covid
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Program santai penduduk Lahanas Sokid bersama Ewon selepas pandemik Covid



Ewon disambut mesra penduduk kampung.

7 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Selepas dua tahun tidak mengadakan sebarang sambutan perayaan ekoran pandemik Covid-19, tahun ini penduduk Kampung Lahanas Sokid menganjurkan Program Santai Kaamatan secara kecil-kecilan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, perjumpaan santai-santai seumpama ini bukan sahaja memberi peluang kepada pemimpin untuk bersama-sama penduduk kampung tetapi juga menyatupadukan rakyat.



“Saya berharap perbezaan politik dikalangan penduduk kampung tidak menjadi halangan untuk kita sama-sama menyambut Pesta Kaamatan kerana ini adalah perayaan masyarakat kita dan tidak seharusnya dijadikan politik,” katanya, hari ini.


Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud berkata, walaupun kini beliau dalam blok pembangkang dan peruntukan agak terhad namun ia tidak menghalang beliau terus berkhidmat untuk rakyat Kadamaian.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Walaupun tiada peruntukan melaksanakan projek besar-besaran namun kita masih mampu menyalurkan sumbangan kecil-kecilan untuk membantu penduduk kampung menganjurkan pelbagai program gotong-royong dan kebajikan,” katanya.


Pada program santai itu, Ewon menyampaikan sumbangan sebanyak RM3000 untuk Tabung Pendidikan melalui Hoku-Hoku, RM1000 untuk tabung aktiviti gotong-royong Hoku-Hoku, RM500 untuk Kelab Belia Lahanas Siba dan sejumlah RM1,200 sumbangan untuk perasmian eko pelancongan, sambutan hari ibu, bantuan persekolahan sebuah keluarga, sumbangan hari keluarga, bantuan cermin mata seorang penerima dan sumbangan sokongan pondok pelancongan persendirian.


Ewon menyampaikan sumbangan untuk Kelab Hoku-Hoku diwakili oleh Pinol.

Selain itu beliau juga menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 13 penduduk kampung yang dikenalpasti oleh Hoku-Hoku.


Ewon turut meluangkan masa melawat tiga keluarga di kampung itu yang memerlukan perhatian pihak kerajaan berkenaan pembaikan rumah mereka.

Ewon melawat dan meninjau sendiri keadaan rumah salah seorang penduduk kampung yang perlukan perhatian kerajaan.

Sementara itu Pengerusi Hoku-Hoku Pinol Timun merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan berterusan kepada penduduk Kg.Lahanas Sokid.


Katanya, sebelum ini pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan di kampung itu termasuk pembinaan konkrit jalan kampung, Dewan Masyarakat dan Rumah Sejahtera Rakyat.


Ewon bergambar bersama kaum ibu.

“Program hari ini adalah program santai-santai bersama Datuk Ewon sempana sambutan Kaamatan,” katanya.

bottom of page