Program SMART VILLAGE bantu komuniti elak jenayah siber
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Program SMART VILLAGE bantu komuniti elak jenayah siber



14 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KENINGAU: Jenayah siber semakin menjadi ancaman kepada masyarakat, terutamanya golongan yang kurang peka dan prihatin.


Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik, berkata, komuniti perlu memainkan peranan sebagai mata telinga dan wadah kerajaan untuk melindungi diri dan orang lain daripada diperdaya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata program anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) ini bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran komuniti dalam mengelak daripada terpedaya atau terjebak dengan jenayah siber.


"Program ini menjadi platform kepada peserta untuk mengetahui cara-cara untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada jenayah siber yang semakin berleluasa.


"Saya berharap lebih banyak program seumpama ini akan dilaksanakan terutama di kawasan pedalaman bagi memastikan pendidikan dan intervensi yang lebih berkesan dilaksanakan supaya isu ini dapat ditangani secara holistik dan kolektif," katanya.


Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program SMART VILLAGE: Bengkel Keselamatan Siber di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, di sini, pagi Selasa.


Tambah beliau, program tersebut adalah komitmen dalam usaha mencegah mendidik dan membanteras jenayah siber yang boleh menjejaskan imej negara dan kesejahteraan rakyat.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah J-KOM (Pengurusan), Zamri Yusof yang mewakili Ketua Pengarah J-KOM Malaysia berkata program ini merupakan anjuran J-KOM Zon Sabah buat julung kalinya dan melibatkan 200 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.


"Kita tidak mahu komuniti di sini menjadi sebahagian daripada statistik kes penipuan siber yang seolah-olah tiada penghujungnya.


"Oleh itu, pendidikan mengenai keselamatan siber ini wajar diberikan kepada semua termasuk komuniti di sini, dengan harapan kita semua ilmu yang diperolehi ini dapat menjadi benteng untuk sentiasa berwaspada ketika berurusan dalam dunia digital," katanya.


Beliau juga menasihati komuniti untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai jenayah siber dan cara-cara untuk mengatasinya melalui laman web rasmi J-KOM www.jkom.gov.my.


Hadir sama wakil Pegawai Daerah Keningau, Easter Micheal Sutili; Guru Besar SK Bingkor Keningau, Madalina Juanis; Pengarah Penyelidikan dan Perancangan Program, Cik Kazidi Mohd. Zainuddin dan Pegawai Penyelia J-KOM Zon Sabah, Dr Diana Dominic.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page