top of page

Program STEM Awareness Dedah Pelajar SMK Lok Yuk Kepada Bidang Kejuruteraan Minyak dan Gas

  • nabalunews
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

2 Februari 2026


KUDAT: Seramai 56 pelajar Tingkatan Empat dan Lima aliran Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Yuk berpeluang mendekati bidang kejuruteraan minyak dan gas menerusi penganjuran Program STEM Awareness: Next Gen Oil and Gas yang berlangsung di sekolah berkenaan baru-baru ini.


Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif STI 1003, iaitu usaha bersepadu yang menggalakkan penyertaan aktif 100 saintis tempatan bersama 100 sekolah dalam tempoh 100 hari bagi setiap kitaran pelaksanaan, ke arah memperluas pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan pelajar.


Pengisian program dimulakan dengan aktiviti interaktif Energy Quest yang bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran lebih santai dan mesra antara peserta serta fasilitator.


Ketua Program Kejuruteraan Minyak dan Gas UMS, Dr Norfazliana Abdullah berkata pendedahan awal kepada bidang tersebut penting bagi membantu pelajar memahami skop pengajian, peluang pembelajaran serta potensi kerjaya dalam industri tenaga yang semakin berkembang.


“Bidang kejuruteraan minyak dan gas bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara, malah membuka ruang kepada inovasi dan penyelesaian kejuruteraan yang lestari.


“Program seperti ini dapat mencetus minat pelajar untuk meneroka bidang STEM secara lebih serius,” katanya.


Antara pengisian utama ialah Pertandingan Inovasi Enhanced Oil Recovery (EOR) yang menguji kreativiti serta pemikiran kritis pelajar dalam memahami konsep asas peningkatan pengeluaran minyak melalui pendekatan inovatif dan lestari.


Aktiviti tersebut turut mendedahkan peserta kepada aplikasi penyelesaian kejuruteraan sebenar yang digunakan dalam industri.


Program berkenaan turut menampilkan sesi Perkongsian Laluan Kerjaya Energy4 Me yang disampaikan oleh Regional Sales Manager SGS Malaysia, Petrotechnical Inspection (M) Sdn Bhd, Khairee Mad Saad serta Ketua Jaminan Kualiti Kolej Vokasional Kudat, Ts Hj. Mohd Fadzli Morad.


Kedua-dua penceramah berkongsi pengalaman profesional, keperluan kemahiran industri serta laluan pendidikan dan kerjaya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.


Sesi tersebut dihadiri oleh 700 pelajar bersama guru SMK Lok Yuk, sekali gus memperluas impak program kepada komuniti sekolah secara menyeluruh.


Pelaksanaan program disokong oleh barisan fasilitator terdiri daripada pelajar Program Kejuruteraan Minyak dan Gas, Fakulti Kejuruteraan UMS, selain pengajar dan pelajar Kolej Vokasional (KV) Kudat yang membimbing aktiviti serta menggalakkan penglibatan aktif peserta.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page