top of page

Projek Agro Mesti Dilaksanakan Secara Berkesan

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 1 min read

15 Januari 2026


KINABATANGAN: “Projek Pertanian yang dibiayai dana awam tidak boleh sekadar gah di atas kertas, sebaliknya mesti dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat”


Demikian tegas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menegaskan semua projek berkenaan akan dipantau secara serius.


Katanya, pemantauan akan dilaksanakan secara rapi termasuk melalui lawatan mengejut bagi memastikan peruntukan kerajaan benar-benar menghasilkan keputusan di lapangan.

“Kita tidak mahu dasar digubal di atas kertas semata-mata. Kita mahu turun ke bawah, lihat sendiri sama ada apa yang diumumkan itu benar-benar berjalan.


“Pendekatan turun padang penting bagi mengelakkan projek pertanian gagal serta memastikan dasar kerajaan tidak terhenti sebagai perancangan semata-mata,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Agro MADANI di sini.


Mohamad turut menyentuh soal keterjaminan makanan negara, khususnya sektor ternakan ruminan seperti lembu, kerbau dan kambing yang masih ketinggalan.


“Kita sekarang sekitar 20 peratus dan kita harap capai 50 peratus menjelang 2030. Ini sasaran yang besar, jauh lagi, tetapi kita yakin dengan program-program yang dirancang,” katanya.


Sementara itu, Mohamad turut mengumumkan pelaksanaan projek ternakan ayam pedaging sistem tertutup bernilai RM2.4 juta di Bukit Garam, Kinabatangan.


Projek berimpak tinggi itu dijangka mampu menjana hasil kasar tahunan sehingga RM2.75 juta serta memberi pulangan berterusan kepada peladang tempatan, di samping menyumbang kepada pengukuhan bekalan makanan di Pantai Timur Sabah.


Sehubungan itu, Mohamad berkata, projek berimpak tinggi seperti itu diharap dapat dilaksanakan secara mampan dan menjadi contoh kepada pelaksanaan projek pertanian lain di seluruh negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page