Projek Jeti Baharu Mawilla 2 Dijangka Siap Mei 2026
- nabalunews
- Oct 7
- 1 min read

7 Oktober 2025
SANDAKAN: Projek pembinaan jeti baharu Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di sini, dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026, dengan kemajuan semasa mencatat 75 peratus.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata projek bernilai RM122.9 juta itu dilaksanakan mengikut jadual dan tidak berdepan sebarang kelewatan.
“Setakat ini, semua kerja pembinaan berjalan lancar dan saya berpuas hati dengan tahap kemajuan yang dicapai.
“Kita yakin projek ini akan siap mengikut jadual ditetapkan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Wilayah Laut 2, di sini, hari ini.
Lawatan berkenaan turut bertujuan meninjau perkembangan kerja di tapak projek serta mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor pelaksana.
Menurutnya, jeti baharu itu akan memperkukuh pertahanan maritim negara khususnya di kawasan perairan timur Sabah, yang meliputi Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Laut China Selatan.
Katanya, kemudahan itu juga penting bagi menampung pertambahan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sekaligus meningkatkan keupayaan operasi dan kesiapsiagaan pasukan di kawasan strategik tersebut.
“Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersama TLDM akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan ia disiapkan dengan kualiti terbaik dan mengikut jadual,” tegas beliau.
“Tahap kemajuan semasa serta komitmen kontraktor memberikan keyakinan bahawa projek tersebut akan siap seperti dirancang tanpa sebarang isu besar.
“Apabila siap kelak, jeti baharu Mawilla 2 dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara di Zon Timur Sabah serta menyumbang kepada keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.


















Comments