Projek NADI Pulau Banggi dinobat juara Hadiah WSIS 2025
- nabalunews
- Jul 8, 2025
- 2 min read

8 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Projek Inklusif Digital NADI Malaysia dinobatkan sebagai juara Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WSIS) 2025.
Pengiktirafan itu diberikan terhadap usaha memperkasa komuniti terpencil melalui pembangunan kemahiran digital dan kesalinghubungan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Projek Inklusif Digital NADI di Pulau Banggi mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bahawa tiada siapa pun terpinggir dalam era digital.
"Kejayaan ini adalah milik masyarakat yang menerima kemahiran digital demi masa depan lebih baik serta kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendukung visi negara yang inklusif dan terhubung.
"Saya amat berbesar hati menerima Hadiah WSIS ini bagi pihak Malaysia," katanya selepas menerima anugerah tersebut mewakili kerajaan di majlis penyampaian di Geneva, Switzerland.
Inisiatif NADI Pulau Banggi memenangi kategori C4: Pembinaan Kapasiti berdasarkan kejayaan menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada salah satu komuniti pulau paling terpencil di Malaysia.
Selain itu, ia juga diiktiraf sebagai johan kategori yang sama, mengukuhkan lagi kesan transformasinya.
Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pelan Infrastruktur Digital Negara Malaysia, inisiatif NADI mewujudkan hab digital komuniti dengan menyediakan internet berkelajuan tinggi dan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada nelayan, petani, pelajar serta peniaga kecil.
Projek ini mengubah kehidupan penduduk dengan belia memperoleh kemahiran ICT, golongan wanita memulakan perniagaan mikro dalam talian dan usahawan tempatan meluaskan pasaran mereka.
Berikutan kejayaan di Pulau Banggi, NADI kini diperluas ke kawasan kurang mendapat liputan lain termasuk Pulau Mandi Darah, dan diperluas ke seluruh negara menjelang 2035 melalui modul latihan berskala, hab komuniti, serta pembiayaan jangka panjang di Sabah dan Sarawak,.
Selain itu, Projek Stingray II Pulau Ketam juga diiktiraf sebagai johan kategori 'C2: Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi'.
Anugerah diberi atas usaha menyediakan kesalinghubungan berkelajuan tinggi melalui pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 46.4km antara Kapar dan Pulau Ketam.
Projek ini membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, keluarga mengakses perkhidmatan teleperubatan dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan digital untuk perniagaan kecil.
WSIS dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meraikan projek ICT yang memacu kemajuan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Fahmi berkata, pengiktirafan global ini mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap kesaksamaan digital iaitu memastikan tiada rakyat yang tertinggal walau di lokasi terpencil sekalipun.
"NADI bukan sekadar projek, ia adalah komitmen untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat peluang digital yang saksama.
"Pencapaian ini mengesahkan kedudukan NADI sebagai antara program inklusif digital yang paling unik dan berkesan di dunia," katanya.















Comments