Projek naik taraf jalan bulatan Berungis - bulatan Mengkabong di peringkat akhir penyediaan rekabentuk: KKR
6 November 2024
KUALA LUMPUR: Projek Menaik Taraf Jalan Bulatan Berungis ke Bulatan Mengkabong bernilai RM150.7 juta kini di peringkat akhir penyediaan rekabentuk.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan penyediaan rekabentuk jalan raya berkenaan dijangka selesai pada Disember ini.
“Agensi Pelaksana bagi projek ini adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan pihak JKR Negeri Sabah sebagai Pegawai Penguasa.
“Projek ini dilaksanakan secara kaedah reka dan bina. Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya telah dikeluarkan pada bulan Mac 2024,” katanya.
Madius berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu dalam soalan lisan pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat Isnin lalu, Madius meminta menteri KKR menyatakan faktor-faktor yang menyebabkan kelewatan pembinaan Projek Menaik Taraf Jalan Bulatan Berungis ke Bulatan Mengkabong dan ke Pekan Tuaran walaupun sudah diberi peruntukan sejak Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) lagi.
Menurut KKR, Projek Menaiktaraf Jalan Berungis (R503 & 041003) Tuaran, Sabah telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-11 (RP3 RMK-11).
Bagaimanapun, projek itu tidak dapat dilaksanakan dan tidak disambung butirannya di bawah RMK-12 kerana isu jajaran projek yang berstatus jalan negeri dan tiada persetujuan pewartaan kepada jalan Persekutuan oleh Kerajaan Sabah.
“Manakala, projek yang dimaksudkan Tuaran adalah projek Menaik Taraf Jalan Berungis (Laluan 503), dari km 0.2 hingga km 2.9 Tuaran, Sabah.
“Projek ini telah diluluskan Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 di bawah Rolling Plan kedua, Rancangan Malaysia ke-12 (RP2 RMKe-12).
“Pada masa yang sama juga, JKR Sabah sedang melaksanakan penyelarasan bagi urusan proses pengambilan balik tanah dengan pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Negeri Sabah dan pengalihan utiliti dengan syarikat utiliti yang terlibat sejak bulan Ogos 2024.
“Pelaksanaan fizikal di tapak dijangka bermula pada suku kedua tahun 2025 tertakluk kepada penyelesaian urusan pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti,” jelas Madius.
Beliau yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memaklumkan, KKR sedang melaksanakan Kerja Awalan Menaik Taraf Jalan Berunggis Ke Serusup Dari Persimpangan Jalan Marabahai Spur Ke Jalan Sulaman (R503), Tuaran.
“Jajaran kerja awalan ini (pengambilan tanah dan rekabentuk) bermula dari Simpang Jalan Marabahai Spur (End chainage bagi projek Menaik Taraf Jalan Berungis (Laluan 503), dari km 0.2 hingga km 2.9 Tuaran, Sabah) hingga ke Jalan Sulaman (Starting Chainage bagi Projek Pan Borneo WP02: Serusup Pituru).
“Cadangan pelaksanaan projek ini bagi melengkapkan ‘missing link’ di antara dua projek yang disebutkan.
“Kerja Awalan ini telah diluluskan dalam Rolling Plan 4, RMK-12 dengan kos siling kerja awalan sebanyak RM53.45 juta.”
Kementerian itu menambah, kerja awalan tersebut telah bermula pada 14 Ogos 2024 dan dijadualkan siap pada 30 Jun 2025.
“Skop kerja melibatkan Kerja Ukur Tanah, Kerja Siasatan Tapak (SI), Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Social Impact Assessment (SIA), Kajian Trafik, Pemetaan Utiliti, Penyediaan Rekabentuk Terperinci, Pengambilan Balik Tanah dan lain- lain skop yang diperlukan berdasarkan keperluan projek.
“Hasil daripada kerja awalan ini adalah sebagai penyediaan awal bagi pelaksanaan projek fizikal kelak,” ujar Madius.
Comments