top of page

Projek pembangunan berimpak besar dilaksana di Penampang sejak tahun 2023 - Ewon

  • Wartawan Nabalu News
  • 5 hours ago
  • 3 min read
Ewon  memasukkan padi ke dalam “tangkob” sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan Daerah Penampang.
Ewon memasukkan padi ke dalam “tangkob” sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan Daerah Penampang.

18 Mei 2025


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, pelbagai projek pembangunan berimpak besar telah dan sedang dilaksanakan di daerah ini sejak tahun 2023.


Beliau berkata, antara projek utama yang sedang giat dilaksanakan termasuk projek tebatan banjir di kawasan Donggongon iaitu pendalaman dan pembesaran saliran parit utama yang kini berjalan rancak selepas tertangguh beberapa tahun.


“Kita juga menambahbaik tadbir urus pengurusan bencana banjir selepas berlaku banjir besar di Penampang tahun lepas. Selama ini, Penampang berhadapan dengan bencana banjir bertahun-tahun tetapi hanya mempunyai satu pusat pemindahan sementara sahaja.


“Pada ketika ini, kita telah mengenalpasti 21 bangunan awam yang boleh diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir. Ini kerana tidak praktikal kampung yang jauh dari Pusat Kebudayaan seperti Kg Sugud, Kg Kolopis dan kampung-kampung dipindahkan ke sana semasa operasi menyelamat dan memindah mangsa banjir,” katanya.


Ewon mengatakan projek menaiktaraf jalan Terian-Buayan, pelaksanaan pembinaan Tamu Donggongon, pembinaan jambatan Babagon serta pelaksanaan penyukatan tanah Kg Togudon di bawah Program PANTAS juga kini sedang rancak dilaksanakan.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.
Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Pembinaan Tamu Donggongon yang tertangguh sejak bertahun-tahun kini telah dimulakan pelaksanaannya bulan lepas. Ini susulan perbincangan dan lawatan tapak bersama Ketua Pengarah ICU, Jabatan Perdana Menteri pada bulan Januari 2023 bagi memastikan projek ini dilaksanakan semula.


“Isu pemilikan tanah yang berpuluh tahun dihadapi oleh penduduk di perkampungan berkecerunan tinggi iaitu Kg Togudon kini sudah mendapat penyelesaiannya selepas kita melancarkan penyukatan tanah PANTAS tahun lepas.


“Penduduk Mukim Babagon yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada laluan low level crossing kini akan mendapat jambatan konkrit yang lebih selesa dan boleh digunakan setiap masa apabila projek yang dimulakan tahun lepas sudah siap sepenuhnya. Begitu juga dengan projek naik taraf jalan Terian-Buayan yang telah sekian lama diimpikan oleh penduduk-penduduk di sana kini sedang berjalan.

Ewon, diiringi oleh Francis disambut mesra penduduk Penampang, yang hadir pada majlis itu.
Ewon, diiringi oleh Francis disambut mesra penduduk Penampang, yang hadir pada majlis itu.

“Malah Majlis Daerah Penampang juga telah dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran pada tahun lepas,” katanya.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menyediakan kemudahan perkhidmatan agensi-agensi di bawah Kementerian melalui pembukaan pejabat di Penampang.


“Di bawah KUSKOP, kita telah menaiktaraf perkhidmatan Bank Rakyat Cawangan Penampang, kita juga membuka pejabat cawangan TEKUN Nasional Penampang, pejabat Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Sabah, pejabat SME Corp Sabah dan Hab PMKS di Penampang serta Live Hub Studio TikTok Shop di Penampang.

Kumpulan magavau.
Kumpulan magavau.

“Malah inisiatif-inisiatif baharu KUSKOP seperti Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus), Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, Projek Premis Tamu Desa, Program Sejati MADANI Koperasi dan juga geran Tunas Usahawan Belia (TUBE) juga telah memberi manfaat kepada usahawan-usahawan dan koperasi-koperasi di daerah Penampang.


“Dalam tempoh dua tahun setengah, sejak saya diberi tanggungjawab besar menjadi wakil rakyat di Penampang, kita sendiri dapat melihat aktiviti-aktiviti pembangunan yang sedang rancak berlangsung sekarang, bukan hanya pembangunan infrastruktur tetapi juga pembangunan ekonomi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Penampang, di Buhavan Square, di sini, hari ini.


Ewon menyatakan pendekatan perancangan yang komprehensif dan tersusun diperlukan oleh Penampang supaya dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030.


“Penampang mesti berupaya menyusun rancangan pembangunan sendiri, sebab itu Pelan Induk Pembangunan Penampang yang telah dilancarkan pada tahun 2023 merupakan dokumen rujukan penting Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan pelbagai Kementerian untuk memastikan pelaksanaan RMK13 mengambil kira rancangan yang telah kita masukkan dalam pelan induk pembangunan Penampang,” katanya.


“Saya berterima kasih kepada semua pimpinan, jabatan dan agensi yang terlibat dalam menjayakan pembangunan Penampang. Walaupun masih ada kelewatan dan projek tertangguh, kita akan teruskan perjuangan ini bersama-sama,” katanya.


Ewon turut berharap agar sambutan Pesta Kaamatan akan terus menjadi wadah menyatupadukan seluruh rakyat Penampang, bukan sahaja di kalangan pimpinan, tetapi juga dalam kalangan masyarakat umum.


“Hanya dengan perpaduan, kesatuan dan kerjasama, kita dapat memastikan masa depan pembangunan Penampang menjadi lebih baik,” katanya.

Yorumlar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page