top of page
  • Wartawan Nabalu News

Projek-projek utama dalam Pelan Pembangunan Kadamaian sedang dilaksana: Ewon

14 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, projek-projek utama dalam Pelan Pembangunan Kadamaian sedang dilaksanakan termasuk penaiktarafan jalan-jalan utama dalam kawasan itu.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, antara jalan utama yang kini dalam pelaksanaan penaiktarafan ialah Jalan Tengkurus - Lahanas dan Jalan Sayap - Mansulit.


Katanya, kerja-kerja penaiktarafan Jalan Sayap telahpun dimulakan sejak April lalu dan dijangka siap April 2026.


“Antara jalan utama dalam DUN Kadamaian yang telah diluluskan dan akan dilaksanakan ialah penaiktarafan Jalan Podos dan Jalan Kaung.

“Ini merupakan antara jalan-jalan utama di Kadamaian yang perlu dinaiktaraf kerana populasi pengguna yang besar dan menjadi laluan utama menghubungkan sekolah-sekolah serta pemangkin kepada kemajuan sektor pelancongan luar bandar di Kadamaian.


“Banyak lagi jalan yang perlu dinaiktaraf dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026 - 2030 dan pelaksanaan penggal kedua dalam RMK12.


“Oleh itu saya akan terus berusaha mendapatkan peruntukan dan mendesak supaya projek-projek itu dimasukkan dalam rancangan pembangunan Sabah untuk manfaat rakyat Kadamaian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, di Pusat Khidmat Adun Kadamaian, Kg.Piasau, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, selain penaiktarafan jalan, isu-isu pemilikan tanah, pembasmian kemiskinan, kebajikan dan pembangunan sekolah terus diberi perhatian.


“Saya mahu lebih banyak kampung di kawasan Kadamaian dapat dimasukkan dalam Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) di Kadamaian, antaranya Kg.Lobong-Lobong, Kg.Kaung, Kg.Tombotuon, Kg.Sayap, Kg.Melangkap, Kg.Gensurai dan Kg.Lasau,” katanya.


Dari segi pembangunan sekolah pula, beliau berkata jalan menuju SK Kaung telahpun diluluskan dalam belanjawan tambahan baru-baru ini di bawah biayaan kerajaan negeri.


“Melalui agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), saya telah memberikan peruntukan kepada semua sekolah menengah dan sekolah rendah kawasan DUN Kadamaian di bawah program Yayasan Bank Rakyat,” katanya.

Ewon berharap, dua UPPM dan semua pengerusi JKKK DUN Kadamaian dapat membantunya mengenalpasti penerima-penerima bantuan kebajikan termasuk pembaikpulihan dan pembinaan rumah PPRT dan Rumah Sabah Maju Jaya bagi memudahkan penyaluran bantuan.


DUN Kadamaian mempunyai seramai 72 pengerusi JKKK.

Comments


bottom of page