Proses PRU Sabah dilaksana penuh integriti, telus – SPR
- nabalunews
- 21 minutes ago
- 1 min read

1 Disember 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan keseluruhan proses Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU) Sabah Ke-17 berlangsung secara berintegriti dan telus.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pelaksanaan segala urusan pengundian, pengiraan, penjumlahan dan pengisytiharan keputusan juga mematuhi prosedur serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Katanya, proses berkenaan turut dipantau semua parti politik, kumpulan pemerhati dan individu yang mengambil bahagian serta dilantik dalam pilihan raya berkenaan.
"SPR mengambil maklum beberapa dakwaan tular dalam media sosial yang memberikan gambaran kurang tepat mengenai perjalanan pilihan raya, terutama tuduhan ketidaktelusan SPR melaksanakan proses PRU Sabah ke-17.
"Sebarang pertikaian mengenai proses atau keputusan pilihan raya perlu dikemukakan melalui petisyen pilihan raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya diwartakan SPR kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata, SPR menghargai dan berterima kasih kepada pengundi yang telah menjalankan tanggungjawab pada PRU Sabah ke-17.
SPR juga mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Insolvensi, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pendidikan.
Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Meteorologi, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, pihak berkuasa tempatan, Sabah Electricity Sdn Bhd, petugas media, serta semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan PRU Sabah kali ini.














