Proses Siasatan Zara Qairina Telus - Hamid
- nabalunews
- 16 hours ago
- 1 min read

10 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Proses siasatan yang dijalankan pihak berkuasa berhubung kes Zara Qairina Mahathir dilakukan secara telus.
Perkara itu disahkan peguam keluarga Zara Hamid Ismail ketika ditemui di perkarangan Hospital Queen Elizabeth (HQE) ketika menunggu proses bedah siasat jenazah Zara kira-kira jam 11 pagi tadi.
Sementara itu, difahamkan proses bedah siasat dikendalikan Pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor bersama Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu serta dibantu dua doktor.
Hamid berkata, rakan guamannya, Shahlan Jufri turut dibenarkan memerhati proses bedah siasat atas permintaan keluarga.
Katanya, seorang jurugambar polis bersama dua anggota polis turut memerhati proses bedah siasat terhadap jenazah arwah Zara.
“Setelah selesai proses bedah siasat, Dr Jessie akan memaklumkan kepada keluarga arwah Zara mengenai hasil penemuan mereka.
“Itu akan dimaklumkan oleh Dr Jessie. Mungkin ia hanya 'preliminary findings' tetapi jika ada unsur jenayah, laporan bedah siasat yang lebih rapi akan dibuat,” katanya.
Hamid berkata, hasil bedah siasat akan diserahkan kepada keluarga secara rasmi dan selepas selesai, jenazah akan dibawa balik ke Sipitang untuk pengebumian.