- nabalunews
ProsPEC MARA buka 16 outlet baharu wujudkan lebih 100 peluang pekerjaan di Sabah
3 September 2024
KOTA KINABALU: Dalam usaha memperkukuhkan sektor keusahawanan profesional di Sabah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah berjaya membuka 16 outlet jenama khas menerusi Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) pada tahun ini.
Pembukaan outlet ini bukan sahaja menandakan perkembangan pesat program tersebut tetapi juga mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.
Timbalan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, menyatakan bahawa 13 daripada 16 outlet tersebut adalah Uni Klinik, dua Uni Dental untuk perkhidmatan pergigian dan satu lagi outlet PACCT yang menyediakan khidmat perakaunan.
"ProSPEC Sabah kini telah berjaya membangunkan 13 buah Uni Klinik, dua Uni Dental dan satu PACCT, yang mana telah memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi setempat," katanya selepas Majlis Peluncuran ProSPEC Sabah di sini, hari ini.
Zulfikri turut berkongsi bahawa MARA telah menyalurkan dana pembiayaan sebanyak RM5 juta untuk pembukaan cawangan jenama khas ini setakat Disember 2023.
Usaha ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah mencatatkan rekod jualan memberangsangkan dengan jumlah RM4.072 juta setakat Ogos 2024.
Melihat kepada sambutan yang baik, MARA merancang untuk membuka 13 lagi outlet, termasuk Uni Farmasi, menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.
“Setakat ini, MARA Sabah sudah melatih seramai 29 usahawan Bumiputera profesional untuk memulakan perniagaan sendiri dalam bidang perubatan, pergigian dan perakaunan menerusi Program ProSPEC.
“ProSPEC adalah sebuah program khas keusahawanan berstruktur yang lebih memfokuskan bidang perubatan, farmasi, kejuruteraan, guaman, perakaunan, seni bina juruukur bahan, dan lain-lain bidang profesional.
“Alhamdulillah, jumlah itu adalah yang kedua tertinggi selepas Selangor. Ini adalah satu platform menggalakkan golongan profesional memiliki perniagaan sendiri melalui jenama khas Uni Klinik, Uni Dental, Uni Farmasi dan PACCT,” katanya.
Beliau berkata, jenama khas itu diwujudkan sebagai ‘platform’ kepada golongan profesional seperti doktor untuk memulakan perniagaan sendiri dengan sokongan dana daripada MARA.
Comments