PRU15: Anwar mendahului pilihan rakyat calon Perdana Menteri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Anwar mendahului pilihan rakyat calon Perdana Menteri


3 November 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mendahului pilihan rakyat sebagai calon Perdana Menteri menjelang penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Institut Darul Ehsan (IDE), dapatan ini adalah hasil Survei Mood Rakyat Malaysia Menjelang PRU15 yang dijalankan oleh IDE bermula 21 hingga 28 Oktober lalu melibatkan 2,423 responden seluruh parlimen Semenanjung Malaysia. “Menjelang penamaan calon pada 5 November ini, dalam pertembungan pelbagai tokoh yang disebut-sebut sebagai Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului kedudukan sebanyak 29.6 peratus melebihi tokoh-tokoh lain. “Tempat kedua adalah Datuk Seri Ismail Sabri yang merupakan Perdana Menteri sementara dengan peratusan, 25.9 peratus mendahului Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden BERSATU iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dapatan ini dibentangkan oleh Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dalam ucapan pengantar beliau di Majlis Peluncuran Buku: Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada hari ini (3 November) di Hotel Tamau, Kuala Lumpur. “Strategi parti-parti politik dan gabungannya menamakan calon Perdana Menteri merupakan satu langkah strategik bagi memberi pilihan kepada rakyat siapakah yang bakal mengemudi negara ini sebagai Perdana Menteri Malaysia. “Buat pertama kalinya dalam sejarah promosi bakal Perdana Menteri menjadi saingan yang bakal mengikat pengundi,” katanya. Selain itu, dapatan IDE dalam survei ini mendapati seramai 81 peratus rakyat Malaysia (Semenanjung) menyatakan keterujaan mereka untuk turun mengundi pada PRU15 kali ini. “Dalam pembentangan ini, Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, menjelaskan pengalaman IDE menjalankan Survei pada 2018, keterujaan mengundi dalam pilihan raya ketika itu adalah 80 peratus. Namun, peratusan keluar mengundi PRU14 akhirnya adalah 83 peratus,” katanya. Menurut kenyataan itu lagi, peningkatan ini bertolak dari aktifnya kegiatan kempen yang rancak dijalankan oleh semua parti-parti politik sejak pengumuman pembubaran Parlimen dan pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). “Namun demikian, peratusan pengundian mungkin boleh terjejas jika berlaku keadaan luar jangka dan menyusahkan pengundi seperti banjir, cuaca buruk dan isu-isu teknikal yang mungkin timbul dihari pengundian,” katanya. Survei yang dijalankan oleh IDE juga mendapati 29.2 peratus pengundi masih belum membuat keputusan untuk memilih parti yang akan diundi dalam PRU15 pada 19 November ini, “Golongan ini adalah golongan ‘atas pagar’ yang mengundi berdasarkan sentimen, isu, calon dan perkembangan politik semasa. Golongan ini tidak terikat sebagai pengundi tegar parti dan kewujudan mereka amat besar dalam PRU kali ini. “Golongan ‘atas pagar’ akan menjadi penentu khususnya dalam pertandingan sengit tiga penjuru atau lebih. “Oleh itu ruang masih terbuka luas kepada calon-calon yang mewakili parti atau bebas untuk berkempen bagi menambat hati pengundi untuk membuat pilihan,” kata kenyataan itu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page