PRU15: Isu banjir dan kesesakan jalan raya antara aduan rakyat Penampang kepada Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Isu banjir dan kesesakan jalan raya antara aduan rakyat Penampang kepada Ewon


31 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Isu banjir, kesesakan jalan raya, perkhidmatan jabatan kerajaan yang lebih berkualiti, keperluan sekolah dan hospital penuh di Penampang antara aduan rakyat Penampang kepada Datuk Ewon Benedick.


Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Penampang itu berkata, isu-isu itu antara lain akan menjadi tanggungjawab beliau jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


“Saya telah dimaklumkan oleh rakyat Penampang, antara isu utama di kawasan ini ialah banjir yang belum lagi selesai sehingga kini walaupun telah disuarakan oleh Ahli Parlimen sekarang ini.


“Ini (isu) yang saya dengar selama dua minggu berkampung di Penampang. Sudah semestinya Pakatan Harapan akan memberi perhatian penuh isu-isu yang menjadi rungutan rakyat kawasan ini.


“Dalam beberapa hari ini, kita akan melancarkan Tawaran PH kepada rakyat Sabah dan saya percaya sebahagian daripada itu adalah untuk menyelesaikan isu rakyat Penampang.


“Selaku calon PH Penampang, ini antara lain tanggungjawab saya nanti untuk mengangkat penyelesaian,” katanya pada sidang akhbar, di Ibu Pejabat UPKO, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian selepas pengumuman senarai lima calon PH daripada UPKO yang akan bertanding pada PRU15.


Ketika ditanya penerimaan rakyat Penampang, Ewon yang juga bakal presiden UPKO dan Naib Presiden UPKO berkata, beliau yakin boleh menang berdasarkan sokongan dan penerimaan rakyat Penampang.


“Setakat hari ini saya amat yakin dengan penerimaan yang diberikan oleh rakyat Penampang kepada Pakatan Harapan, calon Perdana Menteri PH dan calon PH Parlimen Penampang.


“Sudah semestinya peluang itu memang ada. Bagaimanapun saya akui cabaran itu agak besar,” katanya.


Beliau berkata, PH sebagai satu pasukan besar di Penampang kini sedang mengerakkan jentera parti dengan mengadakan pelbagai program turun padang menemui rakyat akar umbi sehingga Hari Pengundian.

bottom of page