PRU15: Madius minta SPR beri penjelasan, nama daftar pemilih meragukan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Madius minta SPR beri penjelasan, nama daftar pemilih meragukan

31 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya segera memberi penjelasan kewujudan nama-nama pengundi yang tidak lengkap dalam Daftar Pemilih semasa yang dikeluarkan oleh suruhajaya itu.


Penyandang kerusi Parlimen Tuaran itu berkata, kewujudan nama-nama yang tidak penuh atau yang tidak lengkap bukan sahaja menimbulkan pelbagai tanda tetapi mencurigakan.


Madius mendakwa, kebanyakan nama pemilih tidak penuh itu didapati lahir pada pertengatahan tahun 1990-an. Ia merupakan tempoh isu pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah, yang menjadi perhatian satu negara, yang kemudian dikaitkan dengan Projek IC.


“Baru-baru ini semakan kami menunjukkan bahawa terdapat banyak nama yang tidak lengkap. Bagi UPKO, keadaan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya memandangkan kita tahu bahawa hampir kesemua rakyat Malaysia menggunakan nama penuh sama ada yang bersandarkan kepada "bin", "binti", anak kepada, anak lelaki atau anak perempuan.


“Jika tidak ada sandaran ini, setiap orang mempunyai nama penuh. Ia sudah menjadi amalan biasa sekian lama. Adakah ini impak pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik?,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Madius yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Tuaran berharap SPR akan memberikan penjelasan sewajarnya bagi mengelak persepsi bahawa Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah Daftar Pemilih tidak bersih seperti yang diharapkan oleh pemegang taruh pilihan raya.


“Memandangkan PRU15 akan berlangsung pada 19 November, wajar bagi SPR menyediakan satu Daftar Pemilih yang bersih, adil dan telus bagi setiap calon dan parti yang bertanding.


“Selain isu peningkatan jumlah pengundi yang ramai, sebagaimana dilaporkan oleh media, kewujudan nama-nama yang tidak lengkap, yang menimbulkan pelbagai persoalan, UPKO mahu pilihan raya dikendalikan dengan bebas, telus dan bersih termasuk kewajiban SPR menyediakan Daftar Pemilih yang bebas daripada pelbagai tanggapan dan persoalan.


“UPKO mengharapkan penjelasan segera daripada SPR,” katanya.

bottom of page