PRU15: Pelaksanaan MA63, desentralisasi kuasa antara Tawaran Harapan untuk rakyat Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Pelaksanaan MA63, desentralisasi kuasa antara Tawaran Harapan untuk rakyat Sabah


8 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, enam daripada 36 Tawaran Harapan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah khusus untuk rakyat Sabah.


Beliau berkata, ia dituntut oleh para pemimpin Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), dimasukkan dalam Tawaran Harapan PRU15 “Kita Boleh” dan dipersetujui oleh semua pemimpin Pakatan Harapan (PH).


“Enam perkara khas itu ialah, membela nasib orang asal Sabah, merapatkan jurang pembangunan Wilayah Sabah dan wilayah-wilayah lain, memperkasakan wilayah Sabah menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), desentralisasi kuasa kepada Wilayah Sabah supaya Sabah diberi autonomi.


“Menyelesaikan pelbagai isu kebanjiran warga asing di Sabah yang bagi pandangan UPKO perlu diselesaikan mengikut empat kategori dan mencipta peluang pekerjaan dan menarik pelaburan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Calon Harapan Parlimen Penampang di Dewan Amore Puru, Putaton, di sini, semalam.


Ewon yang juga bakal Presiden UPKO turut mempersoalkan kandungan Borneo Blok yang ‘diperdagangkan’ pihak parti lain kepada rakyat Sabah.


“Apa kandungannya? Menang dulu baru runding? saya tidak merendah-rendahkan wawasan itu tetapi kalau kita berbahas dan berbincang mengenai perkara itu, kita pastinya dapat melihat rasionalnya.


“Jangan kita turunkan nilai hak kita, Hak Sabah tidak boleh diperdagangkan selepas pilihanraya. Ianya tidak boleh digunakan untuk mendapatkan ganjaran apabila berunding dengan gabungan parti lain yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihanraya umum ini.

“Pendekatan ‘menang dulu, baru runding’ membawa interpretasi dan gambaran serong kepada ketulenan perjuangan menuntut hak-hak Sabah,” katanya.


Ewon berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah membuat indikasi yang mereka akan bekerjasama dengan parti Warisan untuk menubuhkan Borneo Blok.


“Hari ini mereka (Warisan) cuba memasarkan Borneo Blok, seolah-olah GPS sudah bersetuju. Kalau ada persetujuan dan kerjasama, dedahkan kepada rakyat,” katanya.

Ewon berkata, sebagai pemimpin parti lokal UPKO yang menjadi parti kompenen PH, hak-hak Sabah diwartakan sebagai tawaran atau manifesto untuk rakyat sebelum pilihanraya.


“PH telah mengiktiraf kesemua tuntutan-tuntutan hak Sabah yang telah dikemukakan oleh UPKO dan dimasukkan dalam Tawaran ‘Kita Boleh’ Pakatan Harapan tersebut,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Berkata, pilihan raya kali ini bukan setakat memilih Ahli Parlimen tetapi untuk menentukan masa depan negara iaitu memilih kerajaan persekutuan dan perdana menteri.


Mengenai program bertemu rakyat, beliau berkata sepanjang program itu, banyak cadangan daripada rakyat Penampang termasuk menambah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penampang.

“Kalau Putatan, daerah terkecil di Sabah mempunyai tiga DUN, tiada sebab kenapa Penampang tidak boleh mempunyai lebih dua kawasan DUN.


“Apabila Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan dan saya duduk dalam pemimpin utama PH, antara perjuangan saya ialah mengemukakan cadangan persempadanan baharu di parlimen Penampang.


“Selain itu, banyak lagi cadangan lain yang boleh kita perjuangkan apabila duduk sebagai pembuat keputusan dasar Pakatan Harapan,” katanya.


Sehubungan itu Ewon berharap pengundi Penampang memberikan peluang kepadanya berkhidmat di Penampang dan memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.


“Beri kami tanggungjawab itu dan saya buktikan saya mampu melaksanakannya seperti yang saya mulakan di Kg.Maang dan di Mahkamah,” katanya.


Turut hadir Presiden Kehormat UPKO Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang dan para pemimpin PH Penampang.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page