PRU15: Pengundi Penampang mahu perubahan kepimpinan, wakil rakyat rajin 'turun padang'
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Pengundi Penampang mahu perubahan kepimpinan, wakil rakyat rajin 'turun padang'


Renaldo, Jessie dan Alviebon.

6 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Kestabilan politik, kerajaaan yang telus, bebas rasuah dan tunai janji mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak antara harapan tinggi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Kebanyakan pengundi juga mahu kerajaan persekutuan ditadbir oleh satu gabungan politik yang kukuh dengan calon perdana menteri yang terbaik untuk menerajui kepimpinan negara ke arah yang lebih baik dan stabil.


Bagi pengundi di kawasan Penampang, selain mahukan perubahan di peringkat kepimpinan negara, mereka juga inginkan perubahan kepimpinan di Penampang untuk membangunkan kawasan ini dengan lebih pesat lagi.


Seorang penduduk dari Kampung Mangkatadan Notorus, Renaldo Nichol, 31, berkata rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan pemimpin yang berintegriti, jujur dan amanah untuk membangunkan negara dan rakyat.


Renaldo Nichol

“Pilihan raya kali ini amat penting untuk memilih perdana menteri dan kerajaan persekutuan. Oleh itu saya berharap para pengundi terutamanya pengundi muda dapat membuat pilihan bijak tanpa dipengaruhi propaganda yang dimainkan pihak-pihak tertentu.


“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerajaan persekutuan dilihat ‘tidak stabil’ dimana berlaku peralihan kuasa jawatan perdana menteri dalam tempoh yang singkat, daripada Tun Dr Mahathir kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seterusnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


“Kita mahu kerajaan yang stabil, sebab itu pada pilihan raya kali ini kita mesti memilih parti gabungan yang mempunyai calon perdana menteri yang jelas seperti Pakatan Harapan,” katanya.


Renaldo juga berharap, Pakatan Harapan dapat menunaikan janji mereka kepada rakyat antaranya merapatkan jurang pembangunan Wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung.


“Di Sabah, terutamanya di Penampang, masih ada jalan kampung yang belum dinaiktaraf, miasalnya di kawasan Terian dan Buayan.


“Begitu juga dengan bekalan elektrik, penduduk kampung terpaksa menggunakan hidro elektrik kerana belum ada bekalan elektrik di kampung mereka,” katanya.


Oleh itu beliau berharap, kerajaan baharu dan kepimpinan baharu di Penampang dapat memberikan sinar harapan baharu kepada penduduk Penampang.


Seorang lagi pengundi Parlimen Penampang Jessie Albert, 30, berkata antara isu besar di sini ialah masalah banjir.


“Mungkin masalah banjir tidak dapat diselesaikan sepenuhnya kerana ia adalah bencana alam yang tidak dijangka, tetapi sekurang-kurangnya ada jalan penyelesaian yang dapat membantu mengurangkan kesan kepada penduduk kampung yang terjejas teruk dilanda banjir.


Jessie Albert

“Saya berharap projek tebatan banjir di kawasan Penampang dapat dilaksanakan tanpa ada kelewatan. Pihak berwajib juga perlu mengambil tindakan dan jalan penyelesaian segera punca-punca lain yang menyebabkan banjir di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, antara yang menarik mengenai calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang ialah aspirasinya untuk Penampang.


“Saya membaca risalah kempen Ewon Benedick yang diedarkan kepada penduduk di sini. Beliau mempunyai kesungguhan untuk membangunkan Penampang.


“Saya yakin apa yang beliau nyatakan itu dapat direalisasikan berdasarkan perkhidmatan terbaiknya mengurus kawasan Kadamaian selama ini,” katanya.


Sementara itu seorang lagi penduduk Kampung Kuai Kandazon, Emily Rapheal berkata, berdasarkan pencapaian Ewon di Kadamaian, dia yakin Ewon dapat membawa perubahan besar kepada penduduk Penampang.


“Ewon seorang wakil rakyat yang amat komited, rajin turun padang dan sentiasa mengutamakan keperluan rakyat. Saya percaya beliau dapat melakukan yang terbaik untuk Penampang.


“Ada masalah-masalah penduduk kampung yang tidak diberi perhatian oleh pihak berkenaan sebelum ini sehingga menjadi beban minda dan emosi mereka, misalnya jalan kampung rosak teruk dan masalah perparitan yang turut menjadi punca berlakunya banjir kilat, tetapi tidak diambil tindakan.


“Sebab itu, kita perlu seorang Ahli Parlimen yang bukan saja lantang bersuara di Dewan Rakyat tetapi peka dengan masalah rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.


Mengenai pertembungan Ewon dan calon-calon lain terutamanya penyandang kerusi Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking, beliau berpendapat, kemungkinan Darell mempunyai sedikit kelebihan kerana sudah lama menjadi wakil rakyat di kawasan Penampang.


“Manakala Ewon tidak berapa dikenali walaupun lahir di Penampang dan bapanya berasal dari Penampang tetapi Ewon mempunyai rekod yang baik di Kadamaian. Misalnya beliau berjaya membawa banyak pembangunan di Kadamaian walaupun hanya beberapa tahun berada dalam blok kerajaan.


“Dan apa yang membanggakan, walaupun kini beliau berada di luar kerajaan namun, masih banyak pembangunan kecil-kecilan yang berjaya dilaksanakan di Kadamaian.


“Berada di dalam atau luar kerajaan, tiada masalah baginya untuk membantu rakyat … wakil rakyat seperti inilah yang kita mahukan,” katanya.


Emily berkata, Ewon juga seorang wakil rakyat yang mesra dan disenangi semua golongan masyarakat dan tidak sombong.


Pengundi baharu, Alviebon Jain, 24, berkata, sebelum mengenali Datuk Ewon Benedick iaitu calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang, beliau agak ragu-ragu membuat pilihan, siapa yang perlu diundi pada 19 November ini.


Alviebon Jain

“Seperti pepatah Melayu menyatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Selepas mendengar ucapan Datuk Ewon dalam satu program di kampung dan membaca aspirasinya untuk rakyat Penampang pada PRU15, saya yakin beliau adalah calon terbaik untuk membawa perubahan di Penampang.


“Saya sokong calon Pakatan Harapan Penampang Datuk Ewon Benedick kerana beliau seorang pemimpin muda yang berani dan berkaliber.


“Saya juga melihat video pendek mengenai perjuangannya bersama penduduk Kg.Maang pada tahun 2006. Dalam usia yang begitu muda, beliau telah menunjukkan kepimpinan dan kelantangan bersuara demi rakyat Penampang. Ini membuatkan saya sangat kagum dengan beliau,” katanya.


Sehubungan itu Alviebon berharap pengundi Penampang dapat memberikan peluang kepada Ewon untuk berkhidmat di Penampang dengan menyokong dan memberi undi kepada Ewon pada 19 November ini.


Seorang lagi pengundi muda dari Kampung Timpoluon Babagon, Theresa Romeo berharap wakil rakyat yang dipilih dapat mengotakan janji dan bukannya janji kosong semata-mata untuk meraih undi.


“Saya mahu wakil rakyat yang rajin turun padang bertemu orang kampung dan sedia mendengar keluhan serta permasalahan kami terutamanya golongan muda.


“Selama ini, saya tidak pernah nampak wakil rakyat sini melawat kampung saya,” katanya.


Theresa berkata, calon-calon yang bertanding di Parlimen Penampang mempunyai kelebihan masing-masing dan juga rajin turun padang mendengar masalah rakyat.


“Tetapi saya lebih memihak kepada Ewon kerana dia rajin masuk kampung, tidak sombong dan amat merendah diri. Tidak hairanlah beliau satu-satunya calon UPKO yang menang pada pilihan raya negeri yang lalu kerana kepimpinan dan keperibadiannya yang amat menyenangkan.


“Saya akan sokong dan undi Ewon kerana saya mahu perubahan kepimpinan di Penampang. Saya berharap beliau dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin seperti mana beliau berkhidmat di Kadamaian,” katanya.


Pada PRU14, Darell memenangi kerusi Parlimen Penampang dengan jumlah undi 32,470 menewaskan calon-calon lain.


Parlimen Penampang pada PRU15, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Ewon (PH), Darell (Warisan), Kenny Chua mewakili gabungan GRS/BN dan Richard Jimmy (Bebas).


Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah pengundi kawasan Parlimen Penampang pada tahun 2022, melebihi 70,000 orang berbanding 53,131 pengundi pada tahun 2018.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page